IPOH: Sekali imbas, Logo Tahun Melawat Perak 2024(TMP2024) seperti seekor burung, namun di sebalik illustrasi abstrak itu terselit pelbagai identiti mencerminkan keunikan negeri Perak.

Ketua Pengawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa berkata terdapat beberapa unsur grafik diketengahkan sebagai dalam membentuk imej tersendiri.

“Identiti penjenamaan logo TMP2024 berasaskan dua elemen penting iaitu warisan dan alam semulajadi.

“Berasaskan dua elemen itu, dibahagikan kepada lima pecahan iaitu Rumah Kutai, Istana Kenangan, Motif Anyaman , Labu Sayong dan Eko-Pelancongan.

“ Selain itu, warna-warna juga memainkan peranan dalam menyampaikan mesej. Penggunaan warna seperti merah jambu, hijau, biru, jingga dan ungu mempunyai maksud tersendiri yang mempengaruhi alam semesta, gaya hidup, tamadun dan warisan,” katanya kepada Peraktastic selepas Majlis Perasmian Prapelancaran Tahun Melawat Perak 2024 di NU Sentral, Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Jelas Nurmalis, warna merah jambu memberi maksud kasih sayang, cinta dan keterimaan. Hijau diertikan sebagai alam semulajadi dan gaya hidup. Biru mewakili warna alam dan minda yang kreatif.  Oren dan coklat dikaitkan dengan warna warisan dan ungu digunakan untuk merepresentasi Perak sebagai sebuah negeri yang kepelbagaian.

Logo TMP2024 selain kelihatan seperti seekor burung, jika diamati ia membentuk gabungan aksara (huruf) VPY merujuk kepada ‘Visit Perak Year’ bertindak sebagai elemen asas kepada bentuk logo tersebut.

“Bentuk burung digambarkan sebagai burung enggang (Royal Belum) atau burung banngau (Pulau bangau Teluk Intan). Illustrasi ini mewakili sektor ekopelancongan yang menjadi kekuatan pelancongan di Negeri Perak.

“Unsur anyaman juga digabungkan  bagi menampakan seni warisan sulaman berasaskan dinding rumah tradisional negeri Perak.

“Elemen atap rumah tradisional (Istana Kenangan) digambarkan untuk membentuk logo seakan atap rumah secara umum,” jelasnya.

Nurmalis juga menyentuh tentang slogan TMP2024 iaitu ‘Promising Perak’ bermaksud sesuatu yang penuh dengan potensi, menjanjikan hasil dan memberikan impak positif kepada pelancong khususnya.

‘Promising Perak’ dalam erti kata lain, menyampaikan idea bahawa negeri Perak adalah sebuah destinasi berpotensi menjanjikan pengalaman luar biasa serta sukar untuk dilupakan.

“Kita juga telah menetapkan Kopita iaitu Tapir betina sebagai maskot TMP2024. Maksud Kopita ialah kopi tarik,” katanya. - Peraktastic-