IPOH - Pemain industri pelancongan Perak berasa terabai berikutan sikap kurang prihatin YB Loh Sze Yee, Exco Pelancongan Negeri Perak.

Keluhan mereka juga menjadi asakan kepada Pengerusi Persatuan Pengusaha Pelancongan Bumiputra Perak (PPPBP), Zamari Muhyi untuk diusulkan kepada Exco tersebut.

“Sebagai wakil 12 NGO pemain industri pelancongan, kami merasakan usaha kami tidak dihargai kerana sikap dingin yang ditujukkan oleh YB Loh Sze Yee .

“Pembekuan insentif RM10,000 yang kami terima setiap tahun telah melumpuhkan keupayaan kami untuk menjalankan aktiviti promosi produk pelancongan khususnya Tahun Melawat Perak 2024.

“Insentif itu mungkin tidak mempunyai nilai kewangan yang signifikan, tetapi ia melambangkan semangat kerjasama dan penghargaan atas usaha berterusan kami dalam mempromosikan produk pelancongan.

“Sekiranya perkara kecil seperti ini tidak dipeduli, ia seolah-olah mengenepikan kami, dan sumbangan kami tidak dihargai,” katanya ketika ditemubual oleh Peraktastic..

Menurut Zamari, kenyataan YB Loh Sze Yee di media sosial mendakwa beliau mengadakan lawatan turun padang di seluruh wilayah Perak adalah tidak benar sama sekali.

“Beliau telah mengeluarkan kenyataan palsu yang dianggap sebagai menutup kecuaian dan ketiadaan penglibatannya.

“Kalau saya tanya dia tentang produk pelancongan terkini di kawasan Mualim dan Batang Padang, pasti dia tidak dapat menjawab kerana tidak pernah ambil tahu apa yang kami usahakan.

“Baru-baru ini, atas inisiatif PPPBP dan Mybah Negeri Perak, kami telah mengadakan lawatan promosi ke Kedutaan Besar Malaysia Jakarta dan lawatan kolabrasi bersama Tourism Malaysia Jakarta khusus untuk membantu mempromosikan produk pelancongan TMP2024.

“Semua kos perbelanjaan menggunakan bajet kami sendiri. Sekiranya ada insentif daripada kerajaan negeri, pasti kami akan gunakan untuk tujuan itu, bukan untuk kepentingan peribadi.

“Kita berharap kerjasama antara Exco Pelancongan dan pemain industri melalui persatuan yang diiktiraf kerajaan dapat terus maju demi kemajuan industri pelancongan negeri kita,” katanya lagi. - Peraktastic-