IPOH- Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANP) mengambil pendekatan baharu dalam memartabatkan hasil karya seni anak kelahiran negeri Perak khususnya.

Pameran Sutradara Mamat Khalid Dalam Kenangan 2023,  yang berlangsung dari 26 July hingga 16 Ogos ternyata memberi membawa satu kelainan kepada pengunjung.

Pengarah PPANP, Rafidah Abdul Aziz berkata pameran itu merupakan  program  julung kali diadakan yang pasti menarik perhatian umum.

“Saya sememangnya berhasrat untuk mengubah stigma masyarakat bahawa perpustakaan hanyalah tempat untuk membaca buku, mentelaah dan sepatutnya senyap dan sunyi.

 “Perpustakaan seharusnya menjadi satu hub bagi masyarakat untuk mendapatkan informasi, ilmu pengetahuan, bersosial, menghiburkan diri, berkomunikasi dan juga satu ruang untuk terapi.

“Arwah Mamat Khalid mempunyai ramai peminat dan pengikutnya tersendiri. Untuk mengenang jasa beliau dalam industri perfileman, kami mendapat kerjasama dari pihak keluarganya untuk mengumpulkan bahan-bahan pameran ini.

“Menerusi pameran ini, pengunjung berpeluang mengenali hasil karya dan pemikiran Mamat Khalid dengan lebih dekat,” katanya dalam ucapan sempena Program Sembang Santai di PPANP, di sini hari ini.

Program Sembang Santai merupakan salah satu pengisian pameran ini. Seramai tiga orang panel dijemput bagi mengupas topik perbualan tentang pengarah filem tersohor tanahair, Mamat Khalid.

Antara panel yang dijemput ialah anak arwah Mamat Khalid iaitu Khalid Amen Mohamad, Pengkritik Filem, Hassan Abdul Muthalid dan Pelakun, Nasrizal Nasrizal.

Hadir sama, isteri arwah Mamat Khalid, Hasmah Hassan.

Antara bahan-bahan yang dipamirkan ialah biodata Mamat Khalid, prop tangan filem Hantu Kak Limah, piala-piala anugerah, claper board dan pelbagai lagi.

Pameran percuma ini dibuka dari Isnin hingga Jumaat (9.00 pagi hingga 6.00 petang) dan Sabtu (9.00 pagi hingga 5.30 petang). - Peraktastic-