Ipoh: Dianggarkan lebih 5,000 dari pelbagai bangsa bakal mengunjungi Kellie’s Castle pada 16 September 2023 sempena program Santai V.3 Bertanjak.

Pengurus Besar Kellie’s Castle, Zamari Muhyi berkata program Santai V.3 Bertanjak, bukan sahaja program tahunan yang mendapat sambutan dari pelbagai kaum, malah menarik perhatian pelancong asing.

“Setiap tahun, sempena sambutan Hari Malaysia, program pemakaian Tanjak dan Busana Melayu bertujuan memertabatkan warisan Melayu.

“Ia juga mampu melestarikan keunikkan pemakaian tradisional Melayu disamping mengimarahkan seni warisan Nusantara menerusi busana Melayu, tarian, seni silat dan muzik tradisional.

“Program ini juga dapat menarik minat dikalangan generasi muda untuk memakai tanjak yang bukan sekadar pada hari tertentu malah digalakkan setiap hari,” katanya kepada Ipoh Echo.

Tanjak, juga dikenali sebagai Tengkolok atau Destar, adalah sejenis penutup kepala tradisional lelaki dalam budaya Melayu, Ia dibuat daripada kain songkek yang panjang, dilipat dan diikat dengan gaya tertentu.

Dahulu Tanjak dipakai khususnya dalam majlis-majlis keraian seperti majlis diraja oleh ahli keluarga diraja dan majlsi perkhawinan oleh pengantin lelaki.

Program yang akan dilangsungkan pada 10.00 pagi hingga 5.00 petang itu, turut dimeriahkan dengan acara sampingan seperti pertunjukan seni silat warisan, jualan herba perubatan tradisional, pertunjukan kompang/rebana, jualan tanjak/busana dan pertunukan tarian warisan.

“Pada tahun 2019 program ini dikunjungi seramai 3,000 orang manakala pada tahun 2020 seramai 5,000 orang termasuk pelancong-pelancong luar negara.

“Pada tahun 2021 dan 2022 majlis ini tidak dapat dilangsungkan kerana pada masa itu dunia dilanda krisis Covid-19.

“Saya berharap pada tahun ini kunjungan akan bertambah dan orang ramai dijemput untuk ke Kellies’s Castle untuk bersama-sama membangkitkan semula nostalgia zaman kegemilangan Melayu lama,” katanya. -PERAKTASTIC=