IPOH - Jalan Meru Raya-Klebang yang menghubungkan Lebuh Chepor Utama 2 dengan Lebuh Klebang Putra kini mengancam keselamatan penduduk-penduduk di tiga taman perumahan berdekatan.

Keresahan ini disuarakan oleh Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Meru Perdana 2, Laluan 16 - Laluan 26, Razkhi Rayman,56, di mana beliau berpendapat pembinaan jalan tidak menepati piawaian keselamatan .

“Kami menggangap jalan baharu ini sebagai ‘jalan pintas utama’. Namun setelah dibuka kepada orang ramai ia menimbulkan kebimbangan dari segi keselamatan penduduk berdekatan.

“Jalan ini tidak dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan seperti papan tanda arah dan keselamatan yang menyatakan laluan ini melintasi kawasaan taman perumahan.

“Begitu juga tiada sebarang penunjuk arah sebelum masuk ke bulatan jalan yang dibina berhadapan laluan keluar dan masuk Taman Meru Perdana 2 dan taman perumahan berdekatan. Tanda arah ini diperlukan khususnya di waktu malam, “ katanya dalam sidang media yang mewakili penduduk tiga buah taman perumahan di Taman Meru Perdana 2, di sini semalam.

Tambah beliau lagi, sepanjang jalan ini dibuka kepada umum, beberapa kemalangan telah berlaku dipersimpangan bulatan.

“Disebabkan struktur jalan yang baharu, lurus dan tiada ciri-ciri keselamatan, kebanyakkan pengguna jalan ini memandu secara laju tanpa menghiraukan kenderaan keluar dan masuk simpang.

“Saya minta pihak bertangungjawab seperti Kerajaan Negeri, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan pihak pemaju dapat menyelesaikan masalah ini dengan membina bonggol selain papan tanda.

“Penghadang jalan juga perlu dibina sepanjang laluan taman perumahan ini untuk memastikan keselamatan penduduk terjamin sekiranya berlaku sebarang kemalangan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Meru Perdana 2, Mohd Nazri Mohd Ariff, 39, meminta pihak MBI khususnya Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin memandang serius masalah keselamatan penduduk.

“Faktor keselamatan penduduk sejumlah hampir 1,300 orang harus dipandang serius kerana jalan ini telah menjadi laluan pintas dua hala yang utama.

“Ahli Majlis MBI dan ADUN  juga harus turun padang untuk melihat masalah ini dan seterusnya mengambil tindakan segera sebelum berlaku lagi kemalangan yang boleh meragut nyawa,” katanya.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Chepor Idaman, Mohd Syukur Jalinu, 43, pula berkata pembukaan jalan itu juga telah mewujudkan masalah sosial seperti ‘Mat Rempit’.

“Laluan ini juga telah menjadi tumpuan remaja untuk melakukan aktiviti lumba haram. Mereka menunggang motosikal secara merbahaya dan tanpa memakai topi keledar.

“Saya berharap pihak berkuasa dapat melakukan rondaan untuk memastikan aktiviti sosial ini dapat dibenteras dengan segera,” katanya. -PERAKTASTIC-