Ipoh : Tiga jelitawan ‘Miss Perak Tourism 2023’ yang bakal bertanding ke peringkat Miss Malaysia Tourism Pageant 2023, mendapat perhatian bekas Miss Malaysia Intercontinental 93/94, Rachelle Ng.

Menurut Rachelle Ng yang juga Pengarah  RNG Consultancy Sdn Bhd, berkata pihaknya sentiasa memberi dorongan dan sokongan kepada bakat-bakat baharu khususnya kepada ketiga-tiga pemenang Miss Perak Tourism 2023.

“Ketiga-tiga calon ini merupakan komitmen bagi kami untuk membantu meningkatkan kemahiran diri mereka. Kami telah mengatur sesi latihan intensif dalam pelbagai bidang untuk mereka lebih yakin ke peringkat kebangsaan yang lebih mencabar.

“Mereka telah menjalani latihan berbicara di depan awam oleh penceramah terkenal Kt Pillai bersama-sama Mrs. Global Tourism 2023, Sangeet Kaur dan latihan rambut oleh Salun Kecantikan Rambut NG.

“Mereka juga menerima latihan berjalan dan perundingan imej dari RNG Consultancy. Selain itu, pakaian sukan, kasut, gaun, dan pakaian tradisional taja oleh Swan Boutique, VIQ APPAREL, Notting Heels, Azer Concept, dan Jabatan Kesenian, Kedudayaan Negeri Perak (JKKN).

“Mereka juga diberi pendedahan bagaimana menghasilkan teknik solekan terkini yang ditaja oleh produk kecantikan Mary Kay yang diketuai oleh Pengarah Pemasaran, Karen Ng,” katanya kepada Ipoh Echo dalam sidang media di pejabat Mary Kay, sini hari ini. Beliau juga merupakan bekas Miss Intercontinental 1994 TOP 5 (World Pageant).

Ketiga-tiga Miss Perak Tourism 2023 bakal mencabar peserta-peserta dari negeri-negeri lain di peringkat Miss Malaysia Tourism Pageant 2023 yang akan diadakan di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur pada 4 hingga 13 Oktober 2023 ini.

Mereka terdiri daripada Pemenang, Ceci Yong Jia Wen; Naib Juara Pertama, Chloe Loh Qiao Lin dan Naib Juara Kedua, Ishika Kaur.

Majlis kemuncak Miss Malaysia Tourism Pageant 2023 akan dilangsungkan pada 13 Oktober 2023 dan juara akan mewakili Malaysia ke peringkat Miss Tourism International  yang akan berlangsung di Sabah pada November 2023.

Sementara itu, Pengerusi Tourism Perak Management Berhad, Dato’ Mohd Kamil Dato Shafie berkata program Miss Perak Tourism 2023 merupakan acara berprestij yang mampu membantu mempromosikan negeri Perak dalam industri pelancongan.

“Ilmu yang mereka pelajari menerusi latihan hari ini, sangat berguna dalam mempertingkatkan kenyakinan diri, kerana mereka merupakan duta kecil yang bakal memperkenalkan negeri Perak ke peringkat kebangsaan dan seterusnya ke antarabangsa.

“Tourism Perak sentiasa memberi sokongan penuh kepada mereka yang membawa imej negeri Perakdan  secara langsung mempromosikan keunikan tradisi dan kebudayaan negeri Perak,” katanya. - PERAKTASTIC-