Ipoh- Persatuan Usahawan Pelancongan Bumiputera Perak (PPPBP) mendesak kerajaan negeri menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh (LTSAS) yang dianggap kurang berdaya daya saing.

Pengerusinya, Zamari Muhyi berkata tanpa lapangan terbang berteknologi moden dan canggih, usaha untuk menarik pelancong dari luar negara pastinya kurang berkesan dan sukar.

“Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook menyatakan kesediaan untuk melibatkan sektor swasta dalam menaik taraf lapangan terbang yang kurang berdaya saing melalui Perkongsian Awam-Swasta (PPP), termasuk LTSAS, Ipoh. Beberapa syarikat swasta telah mengutarakan minat dan komitmen untuk membuat pelaburan besar.

“PPPBP juga mengalu-alukan inisiatif kerajaan negeri menaik taraf lapangan terbang sedia ada bagi membuka peluang penggiat industri pelancongan tempatan menarik lebih banyak pelancong antarabangsa.

“Kami mengakui pembinaan lapangan terbang baharu tidak semudah itu, namun pendekatan bijak adalah dengan menaik taraf LTSAS yang sedia ada, memberikan wajah baharu tanpa mengorbankan keutuhan struktur asal,” katanya yang juga merangkap Setiausaha Agung Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA).

Beliau menambah, kemampuan sebuah lapangan terbang moden, terkini dan berdaya saing mampu memberi manfaat kepada 95 buah hotel di bawah keahlian MyBHA di seluruh negeri.

“Sekiranya projek naik taraf LTSAS dilaksanakan, ia mampu menarik lebih 11 juta pelancong untuk Tahun Melawat Perak 2024 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Kami menyokong inisiatif kerajaan negeri dan Kementerian Pengangkutan untuk mempercepatkan pembangunan dan peningkatan lapangan terbang dalam mempertingkatkan industri pelancongan negeri ini,” katanya. - PERAKTASTIC-