Teater 'Keringat Dabus Tanjung Bidara' mempertahankan legasi seni Dabus Perak
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 588
Ipoh- Pementasan teater Keringat Dabus Tanjung Bidara (KDTB) berjaya mempertabatkan kembali kesenian tradisonal Dabus Perak yang lebih 300 tahun.
Naskah Teater KDTB ini, diadaptasikan daripada kisah sebenar kumpulan Dabus Tanjung Bidara di Kampung Gajah, Perak oleh pengarahnya Ramdan Misnon.
KDTB mengisahkan perjuangan kumpulan kesenian tradisional untuk mempertahankan budaya dan seni persembahan tradisi Dabus Perak yang diwarisi turun temurun agar terus eksis dalam kalangan masyarakat dan generasi daripada kepupusan.
Konflik penceritaan ini bermula apabila mereka kehilangan seorang khalifah (ketua persembahan) yang menjadi nadi penggerak kumpulan itu.
Nur Atiqah Nabilah Mohamad Fidrossham, antara watak utama yang seharusnya diberi pujian kerana berjaya membawa watak Yong Imah anak kepada Pak Seteh dengan berkesan.
Nur Atiqah Nabilah mampu untuk memahami, merasai, dan menghayati watak dengan mendalam untuk menghidupkan perasaan dan pengalaman watak secara autentik.
Keupayaannya memainkan emosi penonton jelas teruji sewaktu kematian ayahnya (Pak Seteh). Kejujuran emosinya membawa penonton turut bersimpati meratapi kematian Pak Seteh.
Begitu juga keupayaan beliau menguasi variasi atau gaya bertutur loghat Bahasa Melayu Perak. Menerusi pengucapan, intonasi, dan penggunaan perkataan yang sememangnya jarang diamalkan generasi kini.
Tahiah juga kepada pendokong watak Muney oleh Mustaqim Rosli, Pak Deman (Aizat Mansor) dan Pak Seteh (Fahmi Radzi) kerana berjaya mencuit hati penonton.
Kemunculan watak Wan Lerah yang didokong oleh Datin Anne Zahuren menjadi penyeri kepada teater ini. Pengalamannya dalam bidang teater sebagai pengarah, penulis skrip dan pelakon menjadikan watak Wan Lerah begitu bersahaja dan ada ketikanya menimbulkan kelucuan kepada penonton.
Inilah kekuatan dan kelainan yang ingin disampaikan menerusi KDTB oleh Ramdan Misnon selain ingin membawa mesej mempertahankan kepupusan warisan seni tradisional Dabus Perak.
Pementasan KDTB ini merupakan inisiatif Pertubuhan Seni Kayangan Perak (PESKAP) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak dalam usaha mengangkat seni Dabus di negeri ini.
Pementasan "Keringat Dabus Tanjung Bidara" berlangsung pada 10 dan 11 November 2023, 8.30 malam, di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Keseniannegara Perak (JKKN), Ipoh.
Tiket boleh didapati melalui pautan https://ilassotickets.com/event/keringat-kabus-tanjung-bidara/ atau melalui laman sosial Pertubuhan Seni Kayangan Perak di https://www.facebook.com/PertubuhanSeniKayanganPerak dan https://www.instagram.com/peskap.pro/?hl=en. -PERAKTASTIC-