Digital Perak bangunkan platform E-Dagang lebih efisien, bantu ekonomi usahawan Perak
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 765
IPOH- Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak) terus proaktif dalam memajukan sektor Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS) melalui platform pendigitalan, sejajar dengan evolusi teknologi dan tren pembelian dalam talian masa kini.
Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak, Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir berkata Memorandum Persefahaman (MoU) antara Digital Perak dengan Nityo Infotech Services Sdn. Bhd. (Nityo) bakal mentransformasi aplikasi S.M.A.R.T Niaga@Perak yang telah dibangunkan kepada satu platform e-dagang yang lebih efisien dan produktif.
“Pengunaan platform e-dagang Shopmatic yang disediakan oleh pihak Nityo bakal melonjakkan para usahawan ke tahap yang lebih tinggi dan berpotensi untuk menembusi pasaran antarabangsa sejajar dengan agenda Perak Sejahtera 2030 di bawah program Flagship Ekonomi Digital.
“Platform Shopmatic juga merupakan nilai tambah bagi memudahkan usahawan Perak memasarkan produk mereka secara digital dengan dilengkapi kemudahan gerbang pembayaran dan ekosistem logistik.
“Ia turut dilengkapi dengan akses dashboard interaktif merangkumi keupayaan analitik terbina untuk maklumat perniagaan dan pengurusan perniagaan.
“Maklumat akan dipapar dalam bentuk data dan cerapan tentang jumlah urus niaga jualan setiap hari, mingguan atau bulananm dan pecahan angka jualan mengikut produk,” katanya dalam ucapannya pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman Antara Digital Perak Dan Nityo Infotech Services di Hotel Casuarina @Meru di sini semalam.
Upacara pertukaran Mou telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak, Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir bersama-sama Country Head Nityo, Rajasekhar Gummadi disaksikan oleh Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO, Mohd Azlan Helmi Helmi.
Katanya lagi, pada peringkat permulaan, Nityo akan membimbing dan melaksanakan ‘onboarding’ untuk 200 PKS teratas atau ‘Top 200’ dari kalangan PMKS di dalam S.M.A.R.T Niaga@Perak tanpa kos kepada pihak Kerajaan Negeri serta PMKS itu sendiri.
Inisiatif itu, mempercepatkan ketersediaan negeri Perak mengadaptasi teknologi yang mendorong pertumbuhan inovasi baharu dan membuka ruang untuk agensi Kerajaan, pihak swasta dan usahawan mempertingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan pengguna.
“Nityo merupakan sebuah syarikat pembekal perkhidmatan dan solusi IT yang beribu pejabat di New Jersey, Amerika Syarikat dan telah ditubuhkan pada tahun 2006.
“Secara global, Nityo membekalkan perkhidmatan kepada perusahaan merentasi lebih 15 sektor, termasuklah perbankan, insurans, telekomunikasi, penerbangan, hospitaliti, pembuatan dan lain-lain.
“Digital Perak melalui Hub Inovasi & Multimedia juga sedang giat berkolaborasi dengan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (SteP) untuk memberi latihan bimbingan keusahawanan digital yang relevan kepada PMKS Perak,” ujarnya. - PERAKTASTIC-