Batu Gajah- Dinasaur Encounter, taman didik-hibur dinosaur pertama di Perak dan keenam di Malaysia, akan memulakan operasinya pada 22 Disember depan di Silverlakes Village Outlet (SVO).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee berkata Dinasaur Encounter berkonsepkan sains pra-sejarah yang digabungkan dengan teknologi terkini iaitu Realiti Terimbuh (Augmented Reality) dan Realiti Maya (Virtual Reality).

“Dinasaur Encounter juga mempamirkan konsep baharu iaitu kombinasi taman hiburan secara dalaman dan luaran yang dilaksanakan secara berfasa.

“Fasa kedua pelancaran Dinasaur Encounter di SVO pula bakal menyakasikan ‘Immersive Adventure Ride’ iaitu wayng berteknologi tinggi dalam bentuk lima dimensi yang direka khas bagi penggemar aktiviti interaktif dan imersif.

“Sempena Tahun Melawat Perak 2024, Dinasaur Encounter bakal menarik ramai pelancongan domestik selain membeli belah di SVO, “ katanya dalam sidang media sempena perasmian Taman Tema Dinosaur di Silverlakes Village Outlet di sini hari ini.

Menurutnya lagi, pembangunan Dinasaur Encounter bersifat inovatif yang menampilkan penjelajahan dunia dinasaur sebenar.

“Ia merupakan jenama tempatan yang terbaik di Malaysia selain Terengganu, Pusat Sains Negara, Zoo Melaka, Zoo Teruntum Pahang dan Wetland Studios Putrajaya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Silverland, Shaik Rizal Sulaiman berkata Pembukaan Silverlakes Village Outlet (SVO) pada 15 Disember depan bakal memeriahkan lagi Tahun Melawat Perak 2024.

“SVO bukan sahaja membawa jenama-jenama antarabangsa ke Batu Gajah namun beberapa francais restoran juga  akan beroperasi di sini.

“SVO, terbahagi kepada dua bahagian iaitu West Village dan North Village. North Village, merupakan bahagian utama yang akan dibuka secara berperingkat bermula dengan 10 hingga 20 buah kedai terlebih dahulu sebelum dibuka sepenuhnya.

“Sekurang-kurangnya 100 jenama terkenal akan berada di sini. Setakat ini sebanyak 60 peratus peniaga telah bersetuju membuka outlet di sini,” katanya. -PERAKTASTIC-