IPOH- Penderitaan rakyat Palestin sehingga kini mendapat perhatian seluruh penduduk dunia.

Tidak terkecuali, Persatuan Pengendali Umrah, Haji dan Ziarah Perak (Puhaz) turut mengambil inisiatif dalam menyalurkan bantuan kemanusian kepada rakyat Palestine yang terkesan akibat peperangan Israel-Palestin sejak 7 Oktober 2023 lalu.

Presiden PUHAZ, Abdul Jabbar Abdul Kahar berkata konflik antara Israel-Palestin kini mengorbankan  rakyat Palestin di Semenanjung Gaza meningkat kepada 21, 822 nyawa.

“Jumlah rakyat Palestin yang terkoban sangat memberi kesan kepada dunia temasuklah dalam kalangan ahli-ahli PUHAZ.

“Rakyat Palestin kini menghadapi musim sejuk sehingga akhir Februari depan, pastinya kehidupan mereka semakin sukar kerana kemusnahan harta benda dan mereka memerlukan bantuan pakaian musim sejuk.

“Untuk itu, Puhaz dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) melancarkan Tabung Kemanusiaan Misi Gaza. Misi ini, bertujuan menyediakan 1,000 helai baju sejuk untuk rakyat di sana,” katanya kepada Ipoh Echo/ Peraktastic selepas Pelancaran Majlis Tabung Kemanusiaan Misi Gaza Sempena Mesyuarat Agong Puhaz yang ke-4 di Masjid Negeri Perak, Masjid Sultan Idris Shah II baru-baru ini.

Hadir sama, Penasihat Menteri di Kementerian Luar Negeri, Azmi Abdul Hamid dan Timbalan Pengerusi Puhaz, Mohamad Ali Sabri.

Tambahnya, sumbangan itu akan dijalankan secara berterusan sepanjang musim sejuk di Palestin yang dijangka berakhir pada akhir bulan Februari ini.

“Presiden MAPIM, Azmi Abdul Hamid akan berlepas ke Gaza menerusi kerjasama Kerajaan Mesir pada masa terdekat  untuk menyampaikan sumbangan  pakaian musim sejuk yang akan dibeli di Mesir hasil daripada sumbangan tersebut.

“Orang ramai yang ingin menyumbang ke Tabung Kemanusiaan Misi Gaza ini, bolehlah menyalurkan bantuan kepada akaun Maybank 558 220 618 973 (Persatuan Umrah, Haji & Ziarah Perak).

“Sila hantar slip bayaran anda menerusi Whatapp 017 528 0889,” tegasnya. - PERAKTASTIC-