Hari Thaipusam merupakan perayaan yang disambut oleh penganut beragama Hindu di seluruh dunia bagi menghormati dewa Hindu, Dewa Murugan atau juga dikenali sebagai Dewa Subramaniam yang mengalahkan orang jahat iaitu Surapadman.

Di Malaysia, terdapat lima lokasi paling popular iaitu Kuil Arulmigu Balathandayuthabani, George Town, Pulau Pinang dan Kuil Sri Subramaniyar Swami, Batu Caves, Selangor.

Para penganut agama Hindu turut membanjiri Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh, Ipoh, Kuil Sivasagar, Kuching dan Kuil Sri Muniswarar, Tampoi, Johor.

Di Ipoh, seawal pukul 6 pagi, masyarakat Hindu berkumpul di Kuil Sri Subramaniar yang berusia lebih 100 tahun.

Selain menyertai kemeriahan sambutan, sebahagian besar penganut Hindu yang hadir turut menunaikan nazar dan menebus dosa.

Selain itu, hari Thaipusam merupakan hari menunaikan nasar dan menebus dosa atau memohon ampun di atas dosa-dosa yang telah dilakukan.

Kavadi

Kavadi merupakan satu daripada persembahan yang dibuat kepada Dewa Murugan. Perarakan kavadi akan diiringi dengan alunan muzik tradisional 'urumee melam'.

Kavadi dalam bahasa Tamil bermaksud memikul berat di bahu. Pada asasnya, kavadi merupakan struktur berbentuk busur yang dihiasi dengan bulu merak, karya kaca, dan banyak lagi barang hiasan.

Berat sesetengah kavadi boleh mencecah sehingga 35 kilogram. Terdapat pelbagai jenis kavadi merangkumi Pookavadi (berasaskan bunga), Vel Kavadi (berasaskan vel, iaitu lembing ketuhanan yang dikaitkan dengan Dewa Murugan selaku dewa perang Hindu), Mayil Kavadi (berasaskan bulu merak), Pazha Kavadi (berasaskan buah-buahan) dan banyak lagi.

Hanya penganut Hindu lelaki sahaja yang akan mengambil dan membawa kavadi kerana hal tersebut memerlukan kekuatan fizikal yang tinggi untuk melaksanakannya.

Paal Kudam

Paal Kudam ialah satu bentuk persembahan susu yang popular semasa Thaipusam. Ia juga merupakan salah cara menunaikan nazar.

Mereka akan berpakaian warna kuning dan menjunjung pasu mengandungi susu 'paal kudam' yang diangkat di atas kepala.

Susu tersebut kemudiannya digunakan dalam upacara Paal Abhishegam, di mana sami Hindu menuangkan susu ke atas berhala Tuhan sambil menyampaikan mantra.

"Abhishegam" berasal dari bahasa Sanskrit yang bermaksud memandikan atau membasahi.

Alagu Kuthuthal

Ia juga bermaksud adat menindik, merupakan jenis nazar yang dilaksanakan oleh semasa perayaan ini. Nazar ini melibatkan menindik mulut, lidah, atau bahagian belakang badan menggunakan jarum logam atau cangkuk tajam.

Upacara ini dilakukan setelah melakukan Pooja untuk Dewa Murugan, dengan harapan agar nazar penganut diberkati. Jarum tersebut kemudian ditusukkan ke dalam mulut penganut Hindu dari satu pipi ke pipi yang lain.

Saiz jarum yang digunakan untuk mencucuk mulut dan lidah, serta jumlah cangkuk yang digunakan pada bahagian belakang badan, bergantung pada nazar masing-masing kepada Tuhan.

Nyata sekali, Thaipusam bukanlah satu perayaan tradisi tahunan, malah dizahirkan sebagai salah satu perayaan yang mempunyai keunikan tersendiri yang mampu memeriahkan industri pelancongan negara. -PERAKTASTIC-