IPOH: Semenjak pelancaran portal S.M.A.R.T Iftar@Perak oleh Degital Perak Corporation Holding lebih 3000 peniaga seluruh Perak telah berdaftar untuk menjalankan perniagaan secara dalam talian sempena Ramadan tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan serta memangku Portfolio Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata S.M.A.R.T Iftar@Perak merupakan direktori peniaga secara digital dengan menggunakan khidmat penghantaran sebagai alternatif kepada pengajuran bazar Ramadan tradisi, selaras dengan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“Selain menarik minat peniaga-peniaga ianya juga telah memberi peluang pekerjaan kepada lebih 4000 orang penghantar makanan (rider) berdaftar.

“Portal tersebut boleh dilayari melalui https://digital.perak.my yang telah memulakan operasi untuk tatapan pembeli sejak 1 Ramadan dan telah menerima lebih 41,918 pengunjung.”, katanya pada Majlis Pertukaran Memorandum S.M.A.R.T Iftar@Perak antara kerajaan negeri dengan foodpanda, grabfood dan Yezza pada 27 April yang lalu.

Sementara itu Nolee juga menyentuh tentang pemberhentian operasi beberapa syarikat perhotelan akhir-akhir ini seperti Tower Regency dan Kinta Riverfront susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan.

“Namun ada juga beberapa syarikat perhotelan yang mengambil keputusan untuk memberhentikan operasi sementara seperti Marina Island dan Hotel Impiana. Ekoran trend tersebut ia dianggarkan memberi kesan kepada sekitar 600 pekerja secara keseluruhan.

“Semestinya dengan pemberhentian operasi hotel-hotel ini kerajaan negeri akan kehilangan dari segi hasil dan pelesenan.

“Namun masalah besar di sini ialah mereka yang kehilangan pekerjaan. Perkara ini secara tidak langsung akan memberi peningkatan mendadak terhadap kadar pengangguran negeri.

“Selama ini dari segi industri, hospitaliti, dan pelancongan ia merupakan salah satu penyumbang terbesar terhadap ekonomi negeri. Justeru kerajaan negeri sedang meneliti inisiatif yang boleh diambil bagi mengurangkan kesan negatif kepada keadaan tersebut,” katanya.

Selain itu tambah beliau, sekiranya PKP akan ditamatkan dan Kementerian Kesihatan (KKM) membenarkan sektor pelancongan berjalan kembali kelak, kerajaan negeri akan berusaha untuk memulihkan semula industri tersebut.

Katanya antara langkah yang akan diambil adalah dengan mengadakan kempen melawat Perak yang menyasarkan warga tempatan di negeri ini.