165 Pelancongan Eropah Teruja Di Pulau Orang Utan
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 477
Bukit Merah: Seramai 165 orang pelancongan dari beberapa negara Eropah teruja dengan gelagat Orang Utan yang hidup bebas secara semulajadi.
Pasangan suami isteri dari England, Hayden dan Liz Bale berkata peluang menyaksikan kehidupan Orang Utan secara lebih dekat satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
“Saya sangat teruja menyaksikan kehidupan Orang Utan dan kagum dengan usaha pihak Yayasan Pulau Orang Utan, Bukit Merah yang memulihara serta mengekalkan habitat semulajadi kehidupan Orang Utan.
“Saya berharap, usaha memelihara Orang Utan ini akan berterus untuk mengelakkan daripada kepupusan. Ini adalah aset pelancongan yang menarik di Malaysia. Ia bukan sahaja dapat melihat kehidupan Orang Utan, malah dapat mengetahui lebih mendalam tentang Orang Utan.
“Selain itu kami juga tertarik dengan kepelbagaian tumbuhan herba yang ditanam sepanjang laluan ini. Sebelum ini kami tidak mengetahui kebaikan herba-herba tropika.
“Pastinya kami akan mempromosikan produk pelancongan yang menarik ini kepada rakan-rakan kami apabila pulang nanti,” katanya kepada Ipoh Echo/Peraktastic.
Sementara itu, pelancong dari Perancis, Argiles Baro Roc berkata beliau kagum dengan pengurusan orang utan di Pulau Orang Utan dari aspek penjagaan serta diet pemakanan yang diberi kepada Orang Utan.
“Saya baharu mengetahui secara lebih dekat tentang kehidupan semulajadi Orang Hutan dan ianya satu pengalaman yang menarik untuk dikongsikan kepada sesiapa sahaja.
“Saya pasti mencadangkan kepada keluarga dan rakan-rakan agar tidak melepaskan peluang melihat habitat sebenar Orang Utan dengan jarak yang sangat dekat dan selamat,” katanya yang akan meneruskan percutian ke Pulau Pangkor sebagai destinasi akhir di Perak sebelum pulang semula ke Perancis setelah seminggu di Malaysia bersama pasangannya.
Ketua Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa yang turut meraikan rombongan itu berkata Pulau Orang Utan bukan sekadar destinasi ekopelancongan, malah ia menjadi pusat rujukan kepada pengkaji-pengkaji hidupan terpelihara ini.
“Kepelbagaian tarikan ekopelancongan yang ada di negeri Perak, menarik minat pelancong asing khususnya di Pulau Orang Utan.
“Pulau Orang Utan, juga berfungsi sebagai pusat pembelajaran yang mampu meningkatkan kesedaran tentang kepentingan usaha pemuliharaan habitat Orang Utan.
“Sokongan daripada pelbagai pihak dalam memastikan kebajikan Orang Utan ini terjaga dan sekiranya ada individu yang ingin membantu menghulurkan dana adalah dialau-alukan ,” katanya. -PERAKTASTIC-