Teater Siung Maharaja: Simbolik Kezaliman, Kuasa dan Sindiran
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 246
Pementasan Teater Siung Maharaja yang berlangsung pada 5 dan 6 Oktober 2024 di Dewan Serbaguna CETAL Universiti Petronas (UTP), Seri Iskandar, berjaya menghidupkan kembali legenda epik yang penuh dengan sindiran sinis dan mesej tersirat.
Karya arahan Prof. Dr. Shamsul Rahman Mohamed Kutty atau lebih dikenali sebagai ProfShark, menampilkan kebijaksanaan dalam mengupas isu-isu semasa melalui pendekatan sindiran dan simbolisme.
Keberanian beliau mengetengahkan realiti politik masa kini dengan humor yang terselit menjadikan teater ini bukan sekadar hiburan, malah sebuah renungan terhadap kehidupan sebenar.
“Selain menyentuh tema kezaliman, penindasan, dan perebutan kuasa, teater ini juga menyampaikan mesej berkaitan alam sekitar. Elemen-elemen ini hadir secara semula jadi dalam karya untuk memperkukuh mesej utama dan memberikan kesan yang relevan kepada penonton,” ujar ProfShark ketika ditemui selepas pementasan yang dipersembahkan oleh Tronoh Theatre Shop UTP dengan tajaan daripada MOTAC dan UTP.
Kisah Siung Maharaja memfokuskan kezaliman seorang Maharaja (lakonan Reza Hasbi) yang menindas rakyatnya. Pada masa sama, Ratu Puspa Sari (lakonan Dayang Areeda), yang berasal dari keturunan jin dan menghuni hutan Gerik, turut bercita-cita meluaskan empayarnya.
Namun, rancangannya terhalang apabila Raja Obaron, kekasihnya, dibunuh oleh Pacu yang cemburu. Ratu Puspa Sari, yang tertipu dengan fitnah Pacu, menyimpan dendam terhadap Maharaja. Keadaan menjadi semakin buruk apabila Maharaja disumpah selepas meminum sup sayur yang dicampur darah Ratu Puspa Sari dan darah manusia, menyebabkan dia menjadi makhluk ketagihan darah.
Dalam keadaannya yang terdesak dan diganggu mimpi ngeri, Maharaja mula bertindak ganas terhadap rakyat, sehingga mencetuskan pemberontakan. Di penghujung kisah, Maharaja akhirnya tunduk kepada kuasa Ratu Puspa Sari, memberi penamat yang tragis namun bermakna.
Babak terakhir yang menampilkan penemuan seorang bayi dengan kalung kebesaran Maharaja menimbulkan tanda tanya. Adakah bayi itu ‘anak raja jin’, hasil perkahwinan antara Ratu Puspa Sari dan Maharaja? Persoalan ini membuka ruang kepada kemungkinan kesinambungan cerita di masa hadapan.
Penampilan pelakon dan pelawak terkenal, Sabri Yunus untuk sketsa monolog 'Pok Ya Chong Chodei" tidak kurang menghiburkan penonton.
Dengan durasi dua jam setengah, melibatkan 54 orang tenaga produksi dan 10 pemuzik, Siung Maharaja berjaya membawa penonton ke dunia mitos yang penuh magis dan emosi. Ia bukan sekadar pementasan teater malah ianya sebuah naskah yang mencetuskan pemikiran dan perasaan mendalam.
Tahniah ProfShark! -PERAKTASTIC-