HAMI EcoFarms: Peneraju Tembikai Jepun Premium di Malaysia
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 444
Penggunaan teknologi moden serta amalan pertanian mampan bukan sahaja memacu kecekapan dan kelestarian alam sekitar, malah memastikan pengeluaran tanaman premium berkualiti tinggi yang terjamin keselamatannya bagi pengguna.
HAMI EcoFarms Sdn Bhd , sebuah syarikat mendahului dalam bidang pertanian moden dan lestari dengan berjaya mengusahakan 'Tembikai Jepun Organik Premium' di Malaysia.
Sejak tahun 2020, HAMI EcoFarms telah menggunakan teknologi rumah hijau canggih bagi memaksimumkan hasil pertanian serta menjamin kualiti produk yang tinggi.
Pengarah Urusan HAMI EcoFarms, Aw Chee Choy, berkata beliau mengendalikan rumah hijau seluas 10,000 meter persegi untuk penanaman tembikai premium serta ladang terbuka seluas 8,500 meter persegi untuk buah markisa dengan penjanaan kuasa solar.
"Kami berpegang kepada prinsip 'Yang Terbaik adalah Alami,' dengan menekankan kaedah organik dan keseimbangan ekologi.
“Kami menggunakan baja organik untuk mengekalkan kesuburan tanah tanpa bahan kimia sintetik serta memberi tumpuan kepada pengurusan iklim dan kawalan perosak yang berkesan," jelas Aw dalam satu wawancara di Kawasan Perindustrian Pengkalan II, Batu Gajah.
Proses Penanaman Tembikai Jepun Premium
Proses penanaman tembikai HAMI mengikuti langkah yang teliti iaitu dari percambahan biji benih sehingga tuaian yang memakan masa selama 85 hingga 90 hari.
Pada hari pertama, biji benih disaring dan direndam sebelum diletakkan untuk percambahan. Keesokan harinya, biji benih yang telah bercambah dipindahkan ke dalam dulang anak benih. Pada hari ke-11, setelah anak benih mempunyai dua helai daun sebenar, ia ditanam dalam batas tetap di rumah hijau.
Dari hari ke-12 hingga hari ke-30, tumbuhan mengalami perkembangan daun sebelum berbunga. Dalam tempoh ini, tanaman tembikai menerima nutrien dan air yang mencukupi bagi memastikan pertumbuhan yang sihat sebelum pendebungaan tangan dijalankan antara hari ke-32 hingga ke-38.
Antara bunga yang didebungakan, hanya tembikai terbaik yang dipilih untuk dituai, memastikan kualiti premium dengan menumpukan semua nutrien kepada satu buah sahaja.
Sebanyak tiga hingga empat kali sehari pengairan dilakukan namun bergantung kepada cuaca dalam memastikan penghasilan tembikai berkualiti tinggi.
Menjelang hari ke-75, tembikai mencapai tahap matang dan tuaian akan dilakukan antara hari ke-75 hingga ke-90 bergantung kepada varieti tembikai.
Varieti Tembikai Jepun Premium
Antara varieti tembikai Jepun premium yang ditanam di HAMI EcoFarms termasuklah Hami Akane, Hami Asahi, dan Hami Fujisawa yang mempunyai isi berwarna oren, serta Hami Golden Emerald, Hami Hikari, dan Hami Mizuki yang mempunyai isi berwarna kuning-hijau.
Menurut Aw, Hami Golden Emerald (GE) dan Hami Mizuki (MZK) mempunyai kulit kuning keemasan dengan jaringan halus atau sedikit garis. Isinya berwarna hijau zamrud dengan tahap kemanisan 13-14% dan berat buah antara 1.5 hingga 3.0 kilogram.
“Tembikai ini manis berjus, bertekstur lembut, rangup dan menyegarkan. Ia juga mengeluarkan aroma harum apabila matang dan mendapat permintaan tinggi di pasaran.
“Varieti ini sering dijadikan hadiah sebagai tanda penghargaan, kasih sayang atau majlis-majlis istimewa.,” katanya.
Sementara itu, varieti Hami Akane, Hami Asahi dan Hami Fujisawa diklasifikasikan berdasarkan kulit berserat halus dengan warna hijau pucat hingga kuning krim.
“Tembikai ini mengeluarkan aroma manis dan harum apabila matang. Bersaiz sederhana hingga besar dengan berat antara 1.8 hingga 2.5 kilogram setiap satu. Isinya yang berwarna oren berjus dan rangup. Tahap kemanisannya yang tinggi antara 15-16%.
“Hami Hikari adalah varieti yang paling premium dan menarik dari segi visual. Ia mempunyai kulit tebal yang bertekstur atau berserat pada kulit berwarna hijau muda. Isinya berwarna kuning kehijauan dengan tahap kemanisan 13-14%.
“Tembikai ini berjus, dengan tekstur lembut berkrim, serta aroma yang menyenangkan apabila matang. Ia adalah varieti bersaiz sederhana, dengan berat antara 1.5 hingga 2.5 kilogram setiap satu. Varieti ini amat popular dijadikan hadiah istimewa semasa musim perayaan di Jepun,”jelas Aw.
HAMI EcoFarms mengalu-alukan orang ramai untuk meneroka keunikan tanaman ini. Lawatan boleh diatur melalui temu janji di talian 010-769-0733 atau 016-557-0689.
Sewaktu lawatan, pengunjung berpeluang merasai sendiri tembikai premium ini dan bakal ditawarkan harga istimewa melalui promosi semasa.
Tembikai ini bukan sahaja memberikan kepuasan sebenar, malah produk organik ini terbukti bermanfaat untuk kesihatan pengguna. - PERAKTASTIC-