Hami Ecofarms mahu rakyat Malaysia nikmati tembikai wangi premium, sasar pasaran tempatan
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 396
BATU GAJAH: Hasrat dan impiannya adalah supaya lebih ramai rakyat Malaysia dapat menikmati kelazatan tembikai wangi premium keluaran ladangnya.
Kegigihan usahawan yang juga petani moden, Aw Chee Choy dalam mengembangkan pertanian berasaskan organik wajar dicontohi.
Pertemuan empat mata dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Perak serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) juga sebagai usahanya memperbaiki kualiti serta pengurusan tanaman.
Bukan sahaja tembikai wangi, beliau turut berjinak menghasilkan tanaman berpotensi lain seperti markisa dan labu.
Menyentuh tentang tanaman utama iaitu tembikai wangi premium pertama di Malaysia, Aw berkata pasarannya kini banyak tertumpu di Johor dan Kuala Lumpur.
"Kita harap dapat belajar dan tunjuk ajar dari pihak yang lebih berpengalaman iaitu Fama dan Mardi Perak.
"Khususnya dari sudut pemprosesan serta pasaran eksport, sebelum ini pun Fama memberi kerjasama terbaik dan banyak bantu Hami Ecofarms.
"Mardi pula kita harap dapat belajar tentang perusahaan ladang serta pengendalian lepas tuai," katanya ketika ditemui di ladangnya dekat sini.
Dalam pada itu, beliau mengakui tidak meletakkan seratus peratus fokus kepada pasaran eksport kerana lebih menumpukan pasaran lokal.
"Sebenarnya untuk eksport ialah 50 peratus sahaja, sebolehnya kita tidak mahu eksport dan amal konsep 'farm to table'.
"Saya mahu rakyat tempatan khususnya di Perak rasa keunikan buah ini yang dihasilkan secara organik, rasanya memang berbeza dan premium.
"Setakat ini kebanyakan permintaan tembikai wangi premium banyak dari Johor dan Kuala Lumpur, ada besar kemungkinan ia dijual ke Singapura," katanya lagi.
Tidak lama lagi, pihaknya juga akan menawarkan promosi kepada orang ramai dalam memastikan ia dapat dinikmati semua.
"Kebiasaannya dijual RM68 sebiji, tetapi nanti kita akan tawarkan promosi beli dua tembikai wangi percuma sebiji.
"Selain itu, kita akan beri buah markisa yang manis secara percuma. Supaya orang ramai dapat rasa kelazatan buah yang ditanam di sini," katanya.- PERAKTASTIC-