TAIPING: International Ipoh Fashion Week (IIFW) yang mengambil tempat di bandar sinonim dengan pokok hujan hujan di sini, berjaya menyerlah pesona enam model cilik dari Riau, Indonesia.
IIFW yang memasuki musim ke-6 penganjurannya itu berlangsung selama dua hari iaitu 25 dan 26 Oktober lalu.
 
Seramai 11 pereka termasuk dari Malaysia, Maghribi, Thailand, dan Indonesia menyertai acara berprestij berkenaan.
Semestinya banyak mata tertumpu dengan kehadiran model cilik Indonesia, masing-masing berusia 7 hingga 11 tahun.
Wakil dari Riau, Indonesia menampilkan tiga busana yang direka oleh Puan Aspekraf.
Puan Aspekraf merujuk kepada organisasi penghasilan dan tenunan batik di Riau.
 
Menurut Pengerusi Puan Aspekraf, Irna Juita, tiga busana itu merupakan batik kiambang bertaut yang direka oleh Syarifah Aida dan batik kloso oleh Lisdayanti serta Nora.
"Penyertaan kami sekali gus untuk mengangkat wastra Riau ke peringkat antarabangsa.
"Wastra bermaksud kain tradisional Indonesia yang memiliki nilai artistik dan budaya tinggi.
 "Setiap daerah di Indonesia memiliki jenis wastra yang berbeza, dari batik, songket dan tenun ikat.
 "Kain ini bukan hanya berfungsi sebagai pakaian, tetapi juga mengandungi simbol yang mencerminkan adat dan kebudayaan suatu daerah," katanya pada Selasa.
 
Dalam pada itu, katanya, acara pembukaan IIFW dan makan malam yang diadakan di Hotel Taiping Perdana pada 25 Oktober itu dihadiri lebih 500 tetamu dari pelbagai latar belakang.
"Kami menampilkan pakaian tenun dengan tema busana pesta, yang menampilkan motif tenun kapal lancang kuning dan motif siku di awan.
"Serta digandingkan dengan beg tenun dari Glambag, ia berjaya memukau tetamu yang hadir," katanya.
Busana indah itu diperagakan oleh model cilik Riau iaitu Raja Alesha Zahra, Viona Ramadhani, Chloe, Syallove dari Pekanbaru serta Alif dan Kayla dari Tembilahan Riau.
Turut tidak ketinggalan penyertaan model dewasa seperti Sri Mekka, Sri Delvita, Alfiah, Sriyari, Lisdayanti, serta koordinator Puan Aspekraf.
Pada acara tersebut, koordinator dan pereka Puan Aspekraf iaitu Lisdayanti dan Nora, serta Syarifah Aida menerima sijil dari Ketua Bahagian Korporat, Perhubungan Awam dan Pelancongan, Majlis Perbandaran Taiping, Kamarudin Mat Arsad.
Sementara itu, pada hari kedua yang berlangsung di Raintree Walk, Taman Tasik Taiping, kesemua 12 model memperagakan baju dengan motif ikan kloso.
Batik kiambang bertaut yang baru dilancarkan pada International Riau Fashion Week (IRFW) lalu turut berjaya mencuri perhatian ramai.
Busana dengan rekaan kasual itu diperaga oleh enam model cilik terbabit bersama-sama enam model dari Kuala Lumpur iaitu Dalina Azis, Solmaz, Yasmin Zaini, Hana Zamri, Jeni Rahmadial dan Nihal.
Ia diserikan lagi dengan iringan muzik hasil ciptaan Datin Seri Syarifah Darmiati Aida yang dinyanyikan oleh Rita Agustin dan Fivien Novita. - PERAKTASTIC-