IPOH- Penjagaan warga emas sememangnya mengharapkan kasih sayang, kepercayaan, dan tanggungjawab tambahan pula yang mengalami masalah kesihatan yang kritikal.

Kisah Pak Peter J. Bucher, 65, atau lebih dikenali Pak Peter,  seorang penduduk Ipoh yang telah lama menetap sejak 2007, mungkin boleh dijadikan iktibar kepada masyarakat tentang sisi gelap penjagaan serta penyalahgunaan kewangan terhadap golongan rentan.

Pak Peter, yang telah mendapat taraf penduduk tetap Malaysia, merupakan penjaga sepenuh masa isterinya, Kanga Thavi @ Irene John, yang menghidap demensia vaskular sejak Januari 2020 dan berdaftar sebagai OKU.

Sepanjang lima tahun lalu, beliau menguruskan kehidupan isterinya dengan penuh dedikasi, malah menanggung cabaran tambahan apabila beliau sendiri mengalami masalah kesihatan.

Pada 2024, Pak Peter menjalani tiga pembedahan pinggul yang tidak berjaya, menyebabkan beliau sementara waktu terikat di rumah dan memerlukan bantuan jururawat di rumah.

Dalam tempoh itu, jururawat yang diambil untuk membantu urusan harian, dipercayai telah menyalahgunakan kad kredit isterinya tanpa pengetahuan atau kebenaran keluarga, dengan jumlah dianggarkan mencecah RM15,000 sejak Jun 2024.

Perbelanjaan termasuk transaksi di sebuah syarikat jualan langsung di Ipoh. Pak Peter hanya menyedari perkara ini pada Oktober 2024 dan segera membuat laporan polis pada Oktober 2025.

“Kes seperti ini sebenarnya lebih kerap berlaku daripada yang kita .

“Mangsa sering tidak mampu menyuarakan masalah mereka, terutamanya mereka yang hidup dengan demensia atau kurang upaya,” kata Pak Peter yang berasal dari Switzerland yang telah berkhawin selama 51 tahun.

Kisah Pak Peter menekankan kepentingan kewaspadaan berterusan dalam penjagaan warga emas.

Beliau mengingatkan semua keluarga dan penjaga sah supaya memantau rekod kewangan dan kad kredit secara berkala, lindungi barang berharga dan dokumen penting dan jangan segan untuk bertanya atau melaporkan sebarang tingkah laku mencurigakan.

“Dalam penjagaan warga emas, bukan sahaja kesejahteraan fizikal penting, malah keselamatan, maruah, dan akauntabiliti perlu dititikberatkan.

“Bersikap peka bukan sahaja menyelamatkan harta benda, tetapi juga memastikan kehidupan mereka yang dijaga kekal bermaruah,” tegasnya.

Pak Peter menekankan bahawa bersuara bukanlah sesuatu perbuatan yang memalukan tetapi baginya sikap berdiam diri hanya membenarkan amalan tidak wajar terus berlaku,” ujarnya.

Pengalaman beliau menjadi peringatan kepada masyarakat bahawa penjagaan bukan sekadar kasih sayang, tetapi memerlukan pengawasan, peraturan, dan tanggungjawab bersama.

“Seperti kata Maya Angelou: “Jika kita lebih mengetahui, kita boleh melakukan yang lebih baik,” tegasnya dan berharap kisah hidupnya menjadi tauladan kepada semua terutamanya yang mempunyai keluarga yang menghidap demensia vaskular. -PERAKTASTIC-