IPOH: Pusat Perubatan KMC bakal mencatat sejarah sebagai hospital pertama di Perak yang memperkenalkan teknologi Magnetic Resonance Imaging (MRI) generasi baharu berkuasa Kecerdasan Buatan (AI) dan Zero Helium, menawarkan imbasan lebih pantas, kos penyelenggaraan lebih rendah serta kualiti imej yang lebih jelas dan tepat.

Menurut Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Pusat Perubatan KMC, Suresh Kumar, teknologi MRI terbaharu keluaran Fujifilm itu tidak lagi memerlukan penggunaan helium yang sebelum ini berfungsi untuk menyejukkan magnet MRI, sekali gus menghapuskan keperluan proses ‘top-up’ helium yang mahal dan sukar diperoleh di pasaran.

“Bagi MRI konvensional, helium akan mengalami penyejatan selepas tempoh tertentu dan perlu ditambah semula. Dengan teknologi Zero Helium ini, kos penyelenggaraan menjadi jauh lebih rendah dan lebih mampan dalam jangka panjang,” katanya kepada Ipoh Echo/Peraktastic.

Pusat Perubatan KMC telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama FUJIFILM Malaysia dan City Motors Group disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal India Perak, YB Dato’ Sivanesan Achalingam, di sini hari ini.

Hadir sama,  Pengarah Urusan FUJIFILM Malaysia, Kensuke Aragane dan Pengarah Eksekutif City Motors Group, Foo Yit Loong.

Suresh Kumar menegaskan, integrasi teknologi AI dalam sistem MRI tersebut turut mempercepatkan tempoh pengimejan, di mana proses imbasan yang kebiasaannya mengambil masa sekitar 30 minit kini dapat disingkatkan kepada antara 15 hingga 20 minit sahaja.

“Keadaan itu bukan sahaja meningkatkan kecekapan perkhidmatan, malah memberi keselesaan kepada pesakit khususnya warga emas, kanak-kanak, bayi serta pesakit yang mengalami masalah klaustrofobia.

“Tempoh yang lebih singkat dalam ruang imbasan sangat membantu pesakit yang tidak selesa berada lama dalam ‘chamber’ MRI,” jelasnya.

Tambah beliau, penggunaan AI juga meningkatkan kualiti imej yang dihasilkan, menjadikannya lebih cerah, jelas dan tepat, sekali gus memudahkan pakar radiologi serta doktor pakar membuat diagnosis dan perancangan rawatan susulan dengan lebih berkesan.

Dari segi fungsi klinikal, MRI berkenaan beroperasi pada kekuatan 1.5 Tesla dan mampu mengesan pelbagai jenis penyakit sama seperti MRI sedia ada, termasuk imbasan otak, toraks, abdomen serta anggota badan, tanpa tertumpu kepada penyakit tertentu.

“Bezanya adalah dari segi kecekapan masa dan ketepatan imej, bukan pada skop penyakit yang boleh dikesan,” katanya.

Mengulas mengenai kos perkhidmatan, beliau berkata kadar sebenar belum dimuktamadkan, namun KMC komited untuk mengekalkan tradisi hospital itu yang menawarkan caj rawatan paling berpatutan berbanding hospital swasta lain.

“Kebanyakan pesakit kami terdiri daripada golongan B40 dan M40 yang tidak mempunyai perlindungan insurans serta tidak mampu menunggu lama di hospital awam. Matlamat kami bukan untuk keuntungan tinggi, sebaliknya memberi rawatan yang cepat, berkualiti dan mampu milik kepada masyarakat,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, pihak hospital telah mengemukakan permohonan kelulusan kepada Jawatankuasa Kawalan Alat Perubatan (CCAPS), Kementerian Kesihatan Malaysia, dan menjangkakan pemasangan MRI tersebut dapat disiapkan sekitar Julai ini.

“Selepas proses pemasangan dan penentukuran, operasi dijangka bermula pada Julai atau Ogos dengan satu unit MRI buat permulaan,” katanya. -PERAKTASTIC-