55,000 gegar Bukit Jalil! Ella bukti takhta Ratu Rock kebal
- Details
- Written by Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Category: Komuniti
- Hits: 72

KUALA LUMPUR: Aura Ella terus luar biasa apabila 55,000 peminat membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan konsert mega “Majlis Tertinggi Rockqueen”, malam yang mencipta sejarah industri muzik tanah air.

Konsert anjuran Hitman Solutions dan Rockqueen itu membawa mesej ‘Peace, Love & Rindu’ yang menyatukan peminat pelbagai generasi, sekali gus membuktikan pengaruh Ratu Rock Malaysia terus utuh merentasi zaman.
Persembahan bermula dramatik dengan 30 koir kanak-kanak sebelum Ella muncul menyampaikan lagu Rama Rama tepat jam 8.30 malam, disambut sorakan gemuruh penonton.

Konsert lebih tiga jam itu menampilkan 35 lagu termasuk Baldu Biru, Dua Insan Bercinta, Layar Impian dan Peace Love Rindu. Lagu Standing In The Eyes Of The World menjadi kemuncak apabila dinyanyikan beramai-ramai dengan iringan piano komposer asal, Dato’ Wah Idris.

Antara detik paling mencuri perhatian apabila Ella mengelilingi stadium menaiki trak sambil diiringi atlet negara termasuk Datuk Nicol David, Ridzuan Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Farah Ann Abdul Hadi sebagai simbol penyatuan muzik dan semangat kebangsaan.

Konsert turut menampilkan gandingan artis jemputan seperti Amir Masdi, Sam Bunkface dan Tam Spider, selain kemunculan mengejut Amy Search serta Joe Flizzow yang mencetuskan fenomena.
Acara itu juga berjaya mengumpul lebih RM100,000 untuk disalurkan kepada badan kebajikan terpilih. -Peraktastic-


