Ella harap konsert jadi kenangan abadi, akui suami sumber inspirasi
- Details
- Written by Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Category: Komuniti
- Hits: 74

KUALA LUMPUR: Ratu Rock Malaysia, Ella berharap konsert “Majlis Tertinggi Rockqueen” menjadi kenangan manis dan sejarah yang tidak dapat dilupakan buat peminat yang hadir, sekali gus terpahat dalam ingatan mereka buat selama-lamanya.
Menurut Ella, pengalaman sepanjang tiga jam beraksi di pentas meninggalkan kesan mendalam apabila melihat semangat dan sokongan luar biasa peminat yang menyanyikan lagu bersama beliau.

“Saya berharap konsert ini akan menjadi kenangan manis dan sejarah yang tidak dapat dilupakan, serta terpahat dalam hati peminat sampai bila-bila.
“Sepanjang tiga jam di pentas, saya sangat terpukau dengan semangat peminat, maklum balas dan nyanyian bersama mereka yang memberi kegembiraan kepada saya dan semua yang hadir,” katanya pada sidang media selepas konsert.
Mengulas mengenai tenaga dan vokalnya yang kekal bertenaga seperti dua dekad lalu, Ella mengakui inspirasi utama datang daripada suaminya yang sentiasa memberi sokongan dan meniupkan semangat dalam perjalanan seninya.
“Sejujurnya, selepas melalui pelbagai fasa dalam hidup termasuk berkahwin, suami saya banyak memberi inspirasi dan semangat. Dialah yang menyedarkan saya dan sentiasa menyokong perjalanan seni saya. Saya juga sangat berterima kasih kepada Rohit Rampal dan pasukan Hitman Group yang banyak membantu,” katanya.

Dalam pada itu, Ella berkata beliau amat menghargai rakan-rakan artis dan legenda muzik serantau, justeru memilih untuk menyampaikan lagu penyanyi seperti Nike Ardilla, Shima dan Ruhil sebagai tanda penghormatan terhadap karya mereka.
“Bagi saya lagu-lagu mereka sangat hebat dan karya yang sangat berharga. Jika tidak dibawa ke pentas, ia amat rugi. Sebab itu saya buat tribute sebagai penghargaan kepada mereka dan juga buat diri saya,” katanya.

Konsert berkenaan turut dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Cinta Gaza Malaysia, Yayasan Kebajikan Negara dan Yayasan Kebajikan Artis Tanahair selaras dengan semangat ‘Peace, Love & Rindu’ yang menjadi teras penganjurannya.
Lebih bermakna, acara itu berjaya mengumpul lebih RM100,000 untuk disalurkan kepada badan kebajikan terpilih, sekali gus membuktikan muzik bukan sekadar hiburan, tetapi platform menyebarkan kasih sayang dan membantu golongan memerlukan. - PERAKTASTIC-


