340 Jalur Gemilang Megah Berkibar Di Pangsapuri Kinta Heights
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 630
IPOH- Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi menyeru generasi muda agar sentiasa menghargai kemerdekaan yang dikecapi serta mempertahankan negara dari sebarang ancaman luar.
“Kita harus memastikan keamanan, keharmonian dan perpaduan negara agar sentiasa dipelihara kerana ianya adalah asas kepada sebuah negara yang merdeka.
“Hari ini kita melihat simbolik sebuah perpaduan yang begitu kukuh, dimana 340 Jalur Gemilang dikibarkan secara serentak pada hari ini oleh penghuni Pangsapuri Kinta Heights bagi memeriahkan sambutan Kemerdekaan yang ke-63 pada bulan ini.
“Program mengibarkan jalur gemilang harus kita lakukan pada bulan kemerdekaan sebagai budaya kita untuk sentiasa berbangga dengan Jalur Gemilang dan negara kita. Ianya bukan sahaja menyemarakan lagi bulan kemerdekaan malah menyuntik semangat kepada generasi muda dalam memupuk semangat nasionalisme yang tinggi”, katanya.
Hadir sama, Datuk Bandar, Datuk Rumaizi Baharin dan Penasihat Gabungan NGO Perak, Datin Normah Hanum Ibrahim.
Program anjuran NGO Gabungan PRIHATIN bersama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan rukun tertangga Kinta Height ini, turut disertai sebanyak 23 badan bukan kerajaan. Ini merupakan program terawal dilancarkan pada bulan Ogos bagi menyambut hari kemerdekaan pada 31 Ogos akan datang.
Nolee Ashilin menambah, masyarakat diingatkan agar tidak terlalai untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) walau kemana sahaja terumanya dalam suasana kemeriahan menyambut kemerdekaan dalam norma baharu ini.
“Pematuhan SOP adalah penting bagi kita memerangi penularan wabak Covid-19. Kerajaan bukan sahaja ingin melihat kemeriahan dan keharmonian berbilang kaum mengibarkan jalur gemilang untuk kemerdekaan ini, malah kita juga mahu merdeka dari wabak Covid-19 yang mengancam dunia”, katanya.