Restoran Pokok Belacan Mangsa Tular 'Makcik Gelang'
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 831
IPOH- Isu ‘Makcik Gelang Pink Viral’ yang tular di laman sosial baru-baru ini, membawa kebimbangan kepada peniaga-peniaga di Bandar Meru Raya.
Pengerusi Kelab Usahawan Bandar Meru Raya Perak (KUBMRP), Nassry Mardee Ismail berkata, isu tersebut yang ditularkan netizen tidak berasas sama sekali.
“Isu Makcik Gelang yang ditularkan itu menjadi perhatian dan perdebatan warga maya susulan tindakan wanita terbabit keluar rumah dalam tempoh kuarantin sebaik pulang dari luar negara.
“Apa yang dikesalkan berita tular itu membabitkan restoran yang jauh dari permis yang disinggahi oleh makcik tersebut.
"Kesan dari itu mengakibatkan lebih 100 peniaga terkesan teruk. Jumlah kunjungan pelanggan semakin berkurangan”, katanya pada sidang media di kafe Cottage 75, Bandar Meru Raya, di sini, hari ini.
Restoran Pokok Belacan dan Mydin Mall antara yang menjadi mangsa tular tersebut.
Nassry Mardee menegaskan kepada orang ramai supaya tidak perlu bimbang untuk datang ke Bandar Meru Raya.
"Selain dari pihak berkuasa, Ahli Jawatankuasa (AJK) kami akan sentiasa memantau semua peniaga mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Kami ingin menjernihkan keadaan dan berharap orang ramai tidak mempercayai berita tanpa disoal siasat terlebih dahulu," katanya.
Sementara itu, Pengurus Restoran Pokok Belacan, Mohd Khairul Adnan, 32, berkata, sejak penularan berita palsu itu tersebar, perniagaannya merosot tiba-tiba.
"Selepas berita viral itu, sebanyak 80 peratus pelanggan merosot dan hari kedua 40 peratus. Kenapa restoran saya menjadi mangsa padahal restoran saya jauh dari permis yang dikunjungi oleh makcik tersebut," katanya dengan nada kesal.