IPOH – Penduduk Blok C Flat Waller Court di Jalan Lim Boo Seng dekat sini cemas apabila salah sebuah rumah yang terletak di tingkat atas kediaman tersebut terbakar awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira pukul 1.40 pagi itu menyebabkan penduduk berdekatan panik kerana bimbang api merebak ke rumah mereka.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, PBK II Abdul Rahman Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.49 pagi daripada orang awam sebelum sepasukan anggota bersama jentera dihantar ke lokasi kejadian.

Menurut beliau, kebakaran berlaku di sebuah rumah yang tidak berpenghuni yang musnah terbakar kira-kira 70 peratus.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, api sudah marak memusnahkan sebahagian ruman di tingkat atas dan bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah bersebelahan.
"Kejadian tidak membabitkan kehilangan jiwa dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Operasi tamat pada pukul 2.21 pagi.