TANJUNG MALIM, 19 Ogos - Kemudahan liputan internet 4G bakal dinikmati oleh penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), Slim.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata kerja-kerja pembinaan dua menara telekomunikasi di Changkat Sulaiman dan Changkat Serunai dijangka siap hujung tahun ini manakala lima lagi dalam perancangan di Felda Besout dijangka siap pada suku kedua tahun depan.

“Kerja-kerja menaik taraf 25 alat pemancar di menara telekomunikasi juga sedang lancar dilaksanakan. Penambahan menara telekomunikasi baharu dan naik taraf ini akan memberi liputan yang luas dan terpantas.

“Saya yakin kemudahan ini akan memberi banyak manfaat terutamanya untuk  pelbagai urusan selaras dengan perkembangan teknologi masa kini,” katanya pada pemberita pada majlis ramah mesra bersama media di Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, di sini, hari ini. 

Sementara itu, Saifuddin turut menyerahkan bendera jalur gemilang kepada Presiden Kelab Sukan & Kebajikan Media Perak, Rosli Mansor Ahmad Razali sempena kempen kibar jalur gemilang dan bulan kemerdekaan.

Turut hadir calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK itu, Mohd Zaidi Aziz.