‘Perjalanan beribu batu bermula dengan langkah yang pertama’. Berpegang pada  prinsip itulah Mohd Amzari Zamri,36, mencipta sejarah peribadinya setelah dinobatkan sebagai usahawan muda berjaya 2020.

Anak jati kelahiran negeri seladang ini, seorang yang berkarisma serta berpandang jauh terhadap bidang keusahawaan walaupun krusus pengajian asalnya jauh tersasar.

“Terima kasih kepada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak dan Kerajaan Negeri Perak diatas anugerah ini. Anugerah ini bukanlah untuk saya sahaja malah kepada semua yang terlibat terutamanya keluarga saya yang banyak memberi sokongan sehingga peniagaan saya berkembang ke hari ini.

“Ini merupakan suntikan semangat untuk saya terus melebarkan perniagaan terutamanya penjenamaan 'Miker' yang kini semakin dikenali dan diterima oleh pelbagai pihak.

“Saya melihat bidang perniagaan sebagai satu kerjaya yang harus mempunyai hala tuju dan matlamat. Sekiranya kita berjaya mensasarkan matlamat ingin berjaya, saya yakin banyak peluang-peluang akan muncul untuk diterokai disamping dapat membantu peluang perkerjaan kepada semua,” katanya ketika ditemubual selepas menerima Anugerah Belia Negeri Perak, Kategori Khas Belia (Keusahawaan) di Dewan Komplek Belia dan Sukan Negeri Perak baru-baru ini.

Disamping menerima piala penghargaan beliau juga menerima wang sejumlah RM2,000.

Amzari mula menjinakkan diri dalam dunia perniagaan sejak tahun 2010 dengan membuka kedai pencetakan dan pengiklanan.

Penjenamaan ‘MIKER’ untuk produk pertama iaitu baju (T-shirt) pada tahun 2013 mendapat sambutan yang memberangsangkan sekaligus melonjakkan perniagaannya sehingga mendapat permintaan yang tinggi dari pelbagai agensi dan individu.

Beliau sekali lagi memberanikan diri meluaskan perniagaannya dengan membuka Miker Food Restoran di Ipoh Padang pada tahun 2016.

Restoran yang berkonsepkan masakan Melayu, Thai dan barat ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari berbilang bangsa sehingga mendapat perhatian dan liputan dari pelbagai media massa.

Pada Ogos 2019, beliau terus melebarkan sayap perniagaannya dengan membuka kafe Miker Pizza di Jalan Tun Sambanthan, Ipoh dan menambah cawangannya di Gunung Rapat pada 30 Ogos ini.

Menurut Amzari, beliau mengukur kejayaannya hari ini bukanlah sesuatu yang mudah dan seharusnya melalui pelbagai cabaran dan dugaan.

“Kita seharusnya sentiasa berfikiran positif dan berdaya saing yang sihat. Setiap permulaan harus bermula dari langkah yang kecil. Setiap hari adalah pelajaran untuk kita terus menjadikan pengalaman sebagai landasan menuju kejayaan,” ujarnya.