Larangan memasuki Hutan Simpan Kekal Negeri Perak - Denda RM10,000 atau penjara tiga tahun.
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 807
Ipoh- Orang ramai khasnya para pendaki dilarang memasuki Hutan Simpanan Kekal Negeri Perak (HSKNP) berkuatkuasa 15 Oktober sehingga 31 Januari 2021.
Timbalan Pengarah Operasi HSKNP, Ramli Mat berkata penutupan trek pendakian HSKNP yang dilakukan setiap tahun kerana menurut kajian yang dikeluarkan oleh Jabatan Metereologi Malaysia, fasa peralihan monson Timur Laut akan bermula sekitar September sehingga awal tahun 2021.
“Dalam tempoh peralihan monson ini, akan berlaku ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang dan ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan struktur yang tidak kukuh.
“Potensi berlakunya kejadian pokok tumbang dan tanah rebak adalah sangat tinggi dan membahayakan pengunjung. Justeru itu, Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNP) melarang sebarang aktiviti pendakian dan rekreasi di dalm HSKNP bagi menjamin keselamatan orang ramai.
“Kawasan HSKNP dikategorikan sebagai hutan tertutup, dimana setiap kemasukan memerlukan kelulusan melalui pemit memasukI hutan simpan (Borang 6) juga tidak dibenarkan di dalam tempoh ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sementara itu JPNP mempertimbangkan untuk membenarkan kemasukkan dan aktiviti rekreasi di Bukit Keledang namun terhad di kawasan yang berturap sahaja.
Beliau berkata kemasukan dan penggunaan trek hutan untuk tujuan berjogging atau beriadah di Bukit Keledang tidak dibenarkan sama sekali.
“Pihak JPNP tidak akan bertanggungjawab terhadap keselamatan dan kesihatan diri pengunjung dan dinasihatkan agar semua pengunjung sentiasa menjaga etika di dalam HSKNP ini.
“Larangan ini juga bertujuan untuk mengekang penularan virus pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara kita.
“Orang ramai yang ingkar akan dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali sepertimana yang temaktub di dalam seksyen 47 (4), Enakmen Akta Perhutanan 1984 (Pemakaian)1985,” katanya.