IPOH- Kerajaan negeri bakal memperuntukkan RM50,000 sebagai penyelenggaraan kerja-kerja arkib bagi mengumpulkan bahan-bahan seni di negeri Perak.

Pengerusi Jawatan Kuasa  Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Dato' Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata peruntukan tersebut amat penting bagi memastikan khazanah seni anak Perak disatukan menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.

“Kita perlu melihat semua karya seni yang berubah mengikut zaman sebagai harta yang sangat bernilai. Program Ipoh Music Symposium 2020 (IMS2020) bertemakan muzik independen membuka ruang kepada para pengkaji dan peminat genre muzik rock untuk berbincang serta berwacana mengenai era kegemilangan muzik rock di Malaysia.

“Perasmian bangunan Arkib Negara Malaysia Negeri Perak oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah baru-baru ini, memperlihatkan kesediaan negeri Perak kepada pemuliharaan warisan, khazanah dan sejarah dalam semua bidang”, katanya dalam ucapannya mewakili Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu di program konsert tertutup Malam Pentas Rock Kapak di Jabatan Kebudayaan Kesenian Negeri Perak (JKKNP) baru-baru ini.

IMS2020 merupakan program simposium muzik tahunan anjuran PORT dan Gerakan Seni Perak dengan kerjasama JKKNP dan RTM Perak.

Antara pengisian program simposium selama lapan hari bermula 10-18 Oktober itu ialah Simposium Muzik Ipoh, Pameran Rock Kapak, Konsert Tertutup Malam Pentas Rock Kapak dan Forum Rock Kapak.

Konsert Tertutup Malam Pentas Rock Kapak menampilkan tiga kumpulan rock tersohor iaitu kumpulan May, Bumiputera Rocker(BPR),Kris dan penampilan khas iaitu Kid Search.