TAPAH- Seramai 400 buah keluarga kakitangan Penjara Tapah menerima bantuan kotak makanan sumbangan dari Perbadanan Menteri Besar( MB Inc.).

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Strategik, MB Inc. Siti Kamesah Bee M. Hashim berkata sumbangan itu merupakan inisiatif bagi membantu meringankan bebanan golongan yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) , PKPB dan PKPD sekarang ini.

“Sepanjang tempoh PKP ini, MB Inc. mensasarkan sumbangan sebanyak 10,000 buah keluarga bagi meringankan perbelanjaan isi rumah akibat pendemik Covid-19 ini.

“Hari ini, keluarga kakitangan Penjara Tapah antara golongan sasar yang terpilih. Selain menerima makanan asas, kami juga menyediakan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman (sanitiser) yang kini menjadi keperluan wajid bagi menghalang penularan virus Covid-19”, katanya selepas menyampaikan kotak makanan kepada Pengarah Penjara Tapah Timbalan Persuruhjaya, Kamarulzaman Mamat, disini, semalam.

Hadir sama Pegawai Khas Kanan Menteri Besar Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh,  Pegawai Daerah Batang Padang, Shahrul Affendi Baharudin dan Pegawai Khas Pejabat Ahli Parlimen Tambun, Vijaya Thaamarrai.

Sementara itu Kamarulzaman turut merakamkan ucapan berterima kasih kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan MB Inc. di atas sumbangan yang diterima.

“Sumbangan ini amat bermakna kepada seluruh warga kerja Penjara Tapah kerana ianya amat bertepatan dengan keadaan semasa yang melanda seluruh negara”, katanya.