Ipoh- Kes keganasan rumah tangga yang melibatkan wanita semakin berleluasa dan semakin menjadi barah dalam masyarakat dewasa ini.

Pengarah Pembangunan Wanita Negeri Perak, Kavaramma Subramaniyam berkata peningkatan kes keganasan rumahtangga dewasa ini kian meningkat sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada pertengahan march lalu.

“Kes keganasan rumahtangga melibatkan penderaan fizikal dan emosi menampakkan peningkatan yang membimbangkan. Melalui kes yang dilaporkan ianya menunjukkan peningkatan sebanyak empat kali ganda terutamanya dalam tempoh PKP akibat penularan pendemik Covid-19.

“Pelbagai faktor mempengaruhi keganasan rumahtangga terjadi. Namun dalam tempoh PKP dimana masalah kekangan ekonomi serta kehilangan perkerjaan antara masalah yang harus ditangani dengan bijak.   

“Selain golongan wanita sebagai mangsa utama, kaum lelaki juga menjadi mangsa tetapi peratusnya amat tipis. Ianya juga melibatkan kanak-kanak , ibu bapa, orang gaji dan golongan orang kelainan upaya (OKU)”, katanya kepada media selepas program Hentikan Keganasan Rumahtangga 2020 anjuran Majlis Pembangunan Masyarakat Negeri Perak (MPMNP) di Padang Polo, baru-baru ini.

Hadir sama Yang Dipertua MPMNP Dato’ Rafaai Mokthar dan Ketua Biro Kebajikan selaku Pengerusi Program Hentikan Keganasan Rumahtangga, Pathma Devi.

Lebih dari 100 orang hadir yang terdiri dari 15 NGO mengambil bahagian dalam program ini. Kesemua peserta berjalan kaki sejauh satu kilometer di sekitar Padang Polo sambil mengedarkan risalah-risalah dan membawa slogan benteras keganasan.

Objektif penganjuran program itu ialah memberi pendedahan kepada punca-punca terjadi jenayah terhadap wanita dan bagaimana mengatasainya melalui pengedaran risalah-risalah berkaitan kepada orang awam.

Menurut Kavaramma Subramaniayam, selain berpengetahuan terhadap kesan dan akibat penderaan, orang ramai juga harus mengetahui akta-akta perundangan bagi menangani sebarang kemungkinan jika terjadi pada diri sendiri.

“Semua bentuk keganasan terutamanya terhadap wanita adalah tanggungjawab kita bersama. Sebarang laporan kes berkaitan bolehlah menghubungi ‘Talian Kasih 15999’ dan Pusat Krisis Bersepadu (OSCC), Hospital Besar Raja Permaisuri Bainun”, katanya.