IPOH- Kisah sedih bekas wartawan News Straits Times (NST), Perak, Jaspal Singh, 49, terus mendapat perhatian dari pelbagai pihak untuk tampil menghulurkan bantuan.
 
Ahli Parlimen Ipoh Timur merangkap Pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), YB Wong Kah Woh, juga tampil menghulurkan bantuan kepada Jaspal Singh yang mengidap penyakit kencing manis kronik sehingga kaki kanannya terpaksa dipotong pada Ogos lalu.
 
YB Wong Kah Woh mewakilkan Setiausaha Politiknya, Steven Tiw Tee Siang untuk hadir ke rumah Jaspal Singh bagi menyampaikan sumbangan berupa cek bernilai RM3,000.
 
“Saya bagi pihak YB Wong Kah Woh melahirkan rasa gembira kerana dapat menghulurkan bantuan kepada bekas wartawan yang banyak berjasa kepada negara terutamanya kepada seluruh masyarakat negeri Perak.
 
“Sumbangan ini merupakan penghargaan dan terima kasih sebagai mengenang jasa beliau dalam dunia kewartawanan. Kami berharap sumbangan ini akan dapat membantu meringankan bebanan perbelanjaan perubatan beliau”, katanya.
 
Hadir sama Pengerusi Kelab Sukan & Kebajikan Media Perak (KSKMP), Rosli Mansor Ahmad Razali.
 
Sementara itu Rosli Mansor juga berkata, sebelum ini Penasihat Khas Menteri Besar Perak, Dato Zainol Fadzi Paharudin turut menziarahi Jaspal pada 20 September lalu dan menyumbangkan sebanyak RM4,000.
 
"Pihak KSKMP merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada semua yang telah memberi sumbangan kepada Jaspal. Sumbangan ini sudah pastinya mengembirakan sahabat media kami (Jaspal) dan setidak-tidaknya takdir dan kesedihan yang dilaluinya sekarang dapat dikongsi bersama", katanya.