MB Inc. prihatin nasib petugas media sambilan
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 601
IPOH: Seramai 40 orang pengamal media di Perak menerima sumbangan kotak makanan dari Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.).
Ketua Pegawai Eksekutif Mb Inc., Anuar Zainal Abidin berkata, bantuan tersebut adalah tanda kepekaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terhadap pengamal media yang turut terkesan akibat krisis pendemik Covid-19 yang melanda sekarang ini.
“Kami begitu prihatin dengan situasi getir yang dilalui petugas-petugas media sambilan dan kontrak di Perak. Selain membantu rakyat di negeri Perak, rakan media juga wajar menerima bantuan.
“Pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyaksikan ramai pihak terkesan dan memerlukan bantuan termasuklah para petugas media.
“Ini merupakan sumbangan pertama untuk fasa kedua penyerahan kotak makanan MB PKP. Sebanyak 14,000 kotak makanan telah disumbangkan kepada mereka yang terjejas untuk fasa pertama yang dijalankan Mac hingga Jun lalu,” katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan kotak makanan kepada petugas media sambilan dan kontrak di pejabat Ipoh Echo, di sini baru-baru ini.
Program sumbangan tersebut adalah inisiatif bersama MB Inc. dengan Kelab Sukan Dan Kebajikan Media Perak (KSKMP).
Sementara itu, Presiden KSKMP, Rosli Mansor Ahmad Razali berkata, sumbangan tersebut besar ertinya terutama kepada rakan media yang terjejas pendapatan.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perbadanan Menteri Besar , MB Inc kerana telah menjalinkan kerjasama dengan Kelab Sukan Dan Kebajikan Media Perak dalam membantu rakan-rakan pengamal media terutama kepada pekerja media sebagai pekerja sambilan dan secara kontrak.
“Pendapatan mereka amat terhad dan kekangan ekonomi yang mereka hadapi sekarang ini dapat diringankan sedikit dengan sumbangan yang diberikan oleh MB Inc,” katanya.
“Walaupun berdepan dengan kesukaran sepanjang PKP berlangsung, namun mereka masih menjalankan tugas dengan penuh dedikasi. Petugas media juga sebahagian daripada petugas barisan hadapan tetapi malangnya kerap kali nasib mereka terlepas pandang,” ujarnya.