Lenggong: Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) meneruskan lagi sumbangan bantuan kotak makanan kepada empat buah kampung di Lenggong, Hulu Perak semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc Encik Anuar  Zainal Abidin berkata MB Inc sebagai sebuah entiti korporat GLC di bawah kerajaan negeri Perak sedaya upaya membantu golongan yang terkesan dengan Covid-19 melalui program CSR.

“Pendemik Covid-19 membawa kesan menyeluruh kepada masyarakat terutamanya penduduk luar bandar yang sememangnya terbatas pergerakkan untuk mencari bekalan makanan.

“Hari ini MB Inc menyampaikan sumbangan kepada 93 buah keluarga Orang Asli di empat buah perkampungan iaitu Kampung Sungai Karah, Kampung Takong, Kampung Bah 1 dan Kampung Bah 2.

“MB Inc menyahut seruan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato' Azumu supaya GLC negeri sentiasa proaktif dalam membantu golongan sasar yang memerlukan pembelaan tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik bagi meringankan beban mereka dalam mengharungi tempoh yang mencabar ini’, katanya.

Sebelum ini MB Inc telah menyumbang kotak makanan kepada golongan sasar di seluruh Perak termasuk beberapa buah kampung orang asli dalam meringankan beban 10,000 keluarga yang terkesan akibat wabak Covid -19.