IPOH - Kerajaan negeri Perak hari ini menerima 3,000 botol cecair pembasmi kuman yang disumbangkan oleh Proven Optimisation Innovative Solution (POIS) dengan usahasama Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri, Dato' Nolee Ashilin Dato' Mohammed Radzi berkata sumbangan tersebut akan diagihkan kepada penggiat pelancongan, pihak bahagian kerajaan tempatan dan juga badan-badan bukan kerajaan (NGO).

“Dari jumlah itu kami akan mengedarkan sebanyak 1,000 botol cecair pembasmi kuman kepada tiga agensi terbabit dan berharap ianya dapat membantu mencegah dari penularan wabak pendemik Covid-19.

“Keadaan kes Covid-19 yang membimbangkan ini sudah pasti membawa impak yang besar kepada pengusaha industri kecil dan sederhana. Kita sangat menghargai usaha pihak POIS yang tampil memberi sumbangan.

“Kita berharap akan banyak lagi syarikat-syarikat yang prihatin dalam menyahut semangat kerajaan Malaysia dalam usaha memutuskan rantaian wabak Covid-19 ini”, katanya kepada media selepas majlis penyerahan cecair pembasmi kuman yang disampaikan oleh Pengurus Urusan POIS Sdn Bhd, Eidia Erriany Abd Rahim. 

Hadir sama Ketua Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa yang menerima sumbangan bagi pihak Tourism Perak. 

Antara lima NGO yang turut menerima sumbangan ialah Pertubuhan Rakan Komuniti Pendidikan Perak, Rumah Teduhan Kelana, Pertubuhan Wanita Prihatin, Pertubuhan Rumah Ngaji, Persatuan Rakan Prihatin Kinta Perak.