Isu Sampah: Masyarakat perlu beri kerjasama - Datuk Bandar.
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 776
IPOH- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memandang serius masalah pembuangan sampah serta longgokkan sampah haram terutamanya di kawasan-kawasan perumahan dan di sekitar kawasan permis-permis perniagaan.
Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin berkata kesedaran masyarakat terhadap kebersihan persekitaraan haruslah dipupuk bermula dari rumah bagi melahirkan generasi berdisplin dan peka kepada kebersihan alam sekitar.
“Selain dari pihak berkuasa MBI memastikan kebersihan bandaraya, kesedaran dan kerjasama masyarakat juga amat besar dalam mencapai matlamat Ipoh Bandaraya Terbersih 2023.
“Pada tahun hadapan pihak majlis akan menambah sebanyak 14 buah lori sampah dan akan memastikan semua sampah-sampah akan dikitar semula.
“Begitu juga kita akan melancarkan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dimana kita akan memberi sumbangan tong-tong sampah kepada setiap isi rumah. Inilah salah satu usaha yang dirasakan lebih berkesan dalam memupuk masyarakat ke arah yang lebih baik dari aspek kebersihan”, katanya kepada Ipohecho dalam satu temubual eksklusif, di pejabatnya di sini, hari ini.
Beliau juga menegaskan pihak MBI akan sentiasa menyediakan kemudahan infrastruktur kepada masyarakat namun ianya haruslah dipelihara dengan rasa kesedaraan dan tangungjawab.
“Kita mahu kemudahan infrastruktur yang sedia ada sama-sama digunakan serta dijaga dengan baik. Saya percaya masyarakat kini semakin bijak menilai dan menghargai kepentingan harta awam dan saya yakin matlamat kita sebagai Ipoh Bandaraya Terbersih dapat dilaksanakan dengan jayanya”, ujarnya.