IPOH- Pihak penguatkuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tidak akan mengambil tindakan ke atas pengusaha gerai makanan di bahu jalan (peniaga payung) seperti yang banyak terdapat di Meru Raya.

Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin berkata pihak MBI peka dengan situasi penjaja tanpa lesen serta berniaga di kawasan yang tidak sepatutnya.

“Sememangnya aktiviti perniagaan seperti ini mencacatkan pemandangan dan memberi kesan kepada kebersihan kawasan bandar.

“Namun kita memahami keadaan sekarang ekonomi semakin terjejas dan ramai telah kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir.

“Kita tidak mahu mengambil apa-apa tindakan kerana ingin memberi peluang kepada warga Ipoh yang ingin berniaga membuka gerai makanan untuk mencari pendapatan bagi menampung kehidupan keluarga”, katanya sewaktu ditemui di penjabat beliau kelmarin.

Menurutnya, MBI peka dengan situasi penjaja tanpa lesen di kawasan tersebut dan turut menerima aduan dari permis berdekatan berkaitan isu peniaga ini.

“MBI sedang berusaha mencari jalan penyelesaian jangka pendek dan panjang seperti menyusun semula penjaja di lokasi yang telah dikenalipasti.

“Walaubagaimana pun situasi semasa juga perlu diambil kira sebelum sebarang tindakan drastik keatas semua penjaja berkenaan. Saya berharap semua penjaja sentiasa menjaga kebersihan tempat setelah habis berniaga. Diharap tidak ada aduan yang tidak sepatututnya kami terima”, katanya.