Kuala Dipang, 4 Jan: Hujan berterusan selama dua hari mengakibatkan di lima buah kampung dinaiki air dan memaksa beberapa keluarga mangsa mula dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara(PPS).

ADUN Tualang Sekah, Dato’ Nolee Ashilin Mohammed Radzi merangkap Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pelancongan berkata bencana banjir yang berlaku itu disebabkan hujan lebat tanpa henti yang menyebabkan limpahan air daripada sungai-sungai berdekatan.

“Kita telah mengenal pasti kesemua kawasan-kawasan terlibat untuk tindakan segera. Banjir di Kampung Jeram adalah disebab limpahan air yang tidak dapat ditampung oleh sungai. Susur sungai perlu diubah bagi mengelakkan kejadian banjir memasuki ke kampung Jeram seperti yang terjadi hari ini.

“Bagi kes banjir di Kuala Dipang, untuk jangka terdekat, pam air tambahan telah diselenggarakan bagi mengurangkan limpahan air yang mengalir. Untuk jangka masa panjang pembinaan longkang dan pemasangan pam automatik akan siap sepenuhnya pada bulan Jun ini.

Antara kawasan yang dinaiki air ialah Kampung Pulau Pisang melibatkan 15 buah rumah, tiga buah rumah di Kampung Batu 20 , Kampung Nyor sebuah rumah, Kampung Baru Kuala Dipang lima buah rumah, Kampung Jeram sepuluh buah rumah.

Empat PPS telah ditubuhkan antaranya ialah Dewan Bandaran Gopeng, Dewan Orang Ramai Kampung Jeram, Dewan Dato’ Azman Mahalan dan Dewan Orang Ramai Batu 20.

Semalam sebelas buah keluarga terdiri dari 26 orang mangsa telah ditempatkan ke PPS Dewan Dato’ Azman Mahalan.

Sementara itu Nolee berkata beliau akan menyalurkan bantuan dari Pusat Khidmat ADUN kepada mangsa-mangsa banjir.

“Kita sedang mengenal pasti kesemua mangsa terlibat yang telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau yang belum berdaftar, kita akan minta senarai mangsa melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk menyalurkan sedikit bantuan kepada mereka”, ujarnya.