Taiping - Orang ramai berpeluang menikmati diskaun 50% harga tiket Zoo Taiping & Night Safari dengan menyertai program Jom Plog 3.0 anjuran Majlis Pembandaran Taiping (MPT).

Yang Dipertua MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata Program Jom Plog bertujuan menggalakkan orang ramai melakukan aktiviti kebersihan secara 'team work'.

“Dalam masa yang sama program ini dapat mendidik masyarakat untuk sentiasa prihatin tentang isu kebersihan persekitaran, sentiasa mengutamakan kebersihan diri, kawasan tempat tinggal dan ditempat-tempat awam.

“Program Jom Plog mula dilaksanakan pada tahun 2019 di mana lokasinya lebih bertumpu di kawasan Taman Tasik Taiping. Pada tahun 2020, program ini ditambah baik dengan meluaskan kawasan plogging ke empat kawasan khas iaitu Taman Tasik Taiping, di kaki Bukit Larut, di Jalan Berek Taiping dan di sekitar Terminal Bas Kamunting”, katanya pada satu kenyataan media baru-baru ini.  

Program JOM PLOG 3.0 berlangsung mulai 1 Januari 2021 sehingga 31 Mac 2021. MPT mensasarkan jumlah penyertaan melebihi 500 orang kerana di samping mengekalkan empat lokasi asal.

Menurut Khairul Amir, MPT membahagikan kepada dua kategori iaitu Lokasi A dan Lokasi B. Lokasi A melibatkan kawasan tempat tinggal atau kawasan perumahan dan tempat bekerja masing-masing. Manakala lokasi B lebih terbuka, iaitu melibatkan tempat-tempat tumpuan awam dan kawasan pelancongan.

“Para peserta di lokasi B perlu mendaftar, mengambil peralatan plogging iaitu sarung tangan getah dan beg plastik biodegredasi dari checkpoint yang ditetapkan.

“Selepas selesai plogging, para peserta perlu merakam foto bersama dengan hasil aktiviti plogging di backdrop yang disediakan di keempat-empat lokasi untuk menebus bonus yang ditawarkan. Peserta perlu mengemukakan foto tersebut di kaunter sementara Zoo Taiping di Pavilion Zoo bagi menebus pas diskaun 50% melawat ke Zoo Taiping.

Maklumat lanjut hubungi MPT di talian 05 8080777 (sambungan Bahagian Perhubungan Awam dan Pelancongan). Orang ramai boleh mendaftar di FB/IG PINK atau majlis Perbandaran Taiping.