IPOH - Syarikat pengeluar roti terkemuka, Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. (Gardenia) telah menyumbangkan pek makanan kepada petugas media di sini sebagai menghargai sumbangan mereka.

Sumbangan pek berisi produk Gardenia dan buah kurma ini juga bagi meraikan sambutan Ramadan dan pada masa sama berkongsi juadah dengan para petugas media.

Sebanyak 30 pek sumbangan Ramadan ini disampaikan oleh pihak Gardenia kepada Presiden Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak (KSKMP), Rosli Mansor Ahmad Razali.

"Kita mengucapkan terima kasih kepada pihak Gardenia di atas sumbangan ini yang besar ertinya kepada petugas-petugas media.

"Sumbangan ini akan diagih-agihkan terutama kepada rakan-rakan media yang turut terkesan akibat wabak Covid-19," ujar Rosli.

Dalam pada itu, Rosli turut mengalu-alukan sekiranya ada mana-mana pihak yang berhasrat untuk membantu kebajikan ahli-ahli KSKMP.

Katanya, ini kerana ada dalam kalangan petugas media berhadapan kesukaran dan tidak dapat bekerja semasa Covid-19.

"Petugas media sama juga seperti rakyat biasa terutamanya wartawan sambilan yang bergantung kepada jumlah tugasan.

"Melalui KSKMP, kita membantu ahli-ahli yang terkesan ini menerusi sumbangan yang diterima daripada pihak-pihak luar yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka," ujarnya.