IPOH - Penularan wabak Covid-19 mula memberi kesan kepada pengusaha perniagaan butik dan pengantin di negeri ini apabila banyak tempahan terpaksa dibatalkan sekali gus menyebabkan mereka berada dalam keadaan tidak menentu.


Ini kerana larangan bagi mengadakan majlis keramaian seperti perkahwinan menyaksikan banyak pasangan mempelai membatalkan tempahan bagi majlis masing-masing.


Situasi yang berlaku ini memberi tamparan ekonomi kepada kira-kira 84 pengusaha yang melibatkan jumlah pekerja kira-kira 1,500 orang.


Pengerusi Persatuan Pengusaha Butik Pengantin Perak, Mohammad Rizal Razali berkata, pembatalan tempahan mula berlaku seawal Mac lalu berikutan penularan wabak berkenaan.


Menurut beliau, jumlah ini meningkat apabila pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.


“Banyak tempahan telah dibatalkan. Ada pelanggan telah membatalkan tempahan majlis yang dirancang pada bulan November dan Disember dan meminta wang deposit dikembalikan.


“Perkara ini mendatangkan kesukaran kerana tempahan terikat dengan perjanjian mengikut syarat dan peraturan yang telah ditetapkan. Pada masa sama, kita juga faham dengan situasi pelanggan, namun pada masa sama pengusaha pula berhadapan dengan soal kewangan,” ujarnya.


Selain pengusaha butik dan pengantin, perniagaan itu juga turut memberi kesan kepada pihak-pihak yang berkaitan seperti katering, butik, jurufoto serta penyedia khemah dan audio.


Menjelaskan lebih lanjut kata Mohammad Rizal, situasi semasa ini menyebabkan pihak persatuan berharap ada jalan untuk membantu mereka berhadapan dengan keadaan sukar ketika ini.


Katanya, rata-rata pengusaha kini hilang mata pencarian untuk tempoh enam hingga 12 bulan akan datang.


“Pada masa sama kita juga perlu membayar sewa premis, melunaskan gaji pekerja dan desakan pelanggan untuk memulangkan wang pendahuluan.


“Justeru, kita amat berharap ada jalan penyelesaian terhadap situasi yang berlaku. Ini kerana perniagaan ini turut menyumbang kepada ekonomi setempat,” ujarnya.