Kuala Dipang, 19 Jan- Sorotan berita bencana banjir yang disiarkan di laman sosial baru-baru ini, menarik perhatian Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) untuk tampil menghulurkan bantuan.

Deputy Head, CR Community, Ang Huay Ling berkata sumbangan itu adalah antara aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di atas keprihatinan KLK kepada mangsa-mangsa yang terlibat dalam bencana banjir pada 4 Januari lalu.

“Untuk aktiviti CSR ini selain memfokuskan kepada golongan yang kurang bernasib baik, kami juga begitu prihatin kepada komuniti yang terlibat dengan bencana alam.

“Kami difahamkan kejadian banjir yang melanda tempoh hari melibatkan lima buah kampung. Berpandukan laporan berita yang tersiar di laman sosial, pihak pengurusan KLK bersetuju memberikan sumbangan keperluan harian kepada semua ahli keluarga yang terlibat.

“Kami berharap sumbangan ini dapat meringankan perbelanjaan seharian kepada semua mangsa banjir, terutamanya keadaan sekarang di mana negeri Perak akan melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 22 Januari sehingga 4 Februari 2021 bagi mengekang wabak pandemik Covid-19”, katanya selepas penyampaian sumbangan di Dewan Azman Mahalan, Kuala Dipang, di sini, semalam.

KLK Senior Mill Adviser, Johari Salleh turut menyampaikan 83 kotak berisi makanan kering yang merupakan keperluan asas termasuk pelitup muka, sabun dan cecair pembasmi kepada kesemua wakil ketua kampung yang terbabit.

Hadir sama Penghulu Kampung, Mohd Syamsul Azhar Mohd Yusop; Ketua Kampung Pulau Pisang, Jaslee Haron; Ketua Kampung Kampung Jeram, Mat Mokhtar Ismail dan Ketua Kampung Kuala Dipang, Asman Yob Talib.

KLK merupakan sebuah syarikat perbadanan di Malaysia yang tersenarai di Papan Utama Bursa Saham Malaysia Berhad. Permulaan sebagai syarikat perladangan kelapa sawit dan getah yang menjadi teras utama perniagaan KLK sehingga menjadi antara pengeluar oleo kimia terbesar di dunia.

Sementara itu Jaslee Haron berkata pihaknya begitu berbesar hati menerima sumbangan dari pihak pengurusan syarikat KLK yang sememangnya membantu meringankan bebanan mangsa-mangsa banjir.

“Saya mewakili kesemua komuniti kampung ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak KLK yang turun padang memberikan sumbangan kepada kami.

“Sumbangan ini amat bertepatan kerana ianya dapat meringankan bebanan keluarga terutamanya dalam tempoh PKP ini. Saya mengalu-alukan kepada semua NGO lain sekiranya ada yang sudi menghulurkan bantuan dalam kepada kami.

“Kebanyakan mangsa-mangsa terdiri dari yang berkerja sendiri dan adanya sudah kehilangan pekerjaan akibat Covid-19”, katanya.