IPOH – Orang ramai berpeluang menderma ke tabung dana Majlis Kanser Nasional (MAKNA) melalui pembelian lukisan di Pameran Seni Pekan Lama Ipoh (PSPLI) di Pusat Penerangan Pelancongan (ITIC).

Pengerusi Persatuan Informasi Pelancongan Dan Kesihatan Perak (PIPKP), Noradidah Mokhtar berkata penganjuran PSPLI mengenengahkan sejarah bandaraya Ipoh sejak zaman kolonial.

“Kesemua lukisan adalah hasil karya anak jati Perak, Ammiruddin Haji Mohd Daud. Beliau dilahirkan di bandaraya Ipoh dan disebab kecintaannya kepada negeri tumpah darahnya ini, beliau mengabadikan karya seninya melalui lukisan bangunan-bangunan warisan yang dibina dizaman pemerintahan British.

“Sebanyak 35 buah karya lukisan dipamirkan. Lukisan-lukisan ini juga dijual diantara RM100 hingga RM500 dan 5% dari harga jualan akan didermakan kepada tabung dana Majlis Kanser Nasional (Makna) untuk pesakit-pesakit kanser”, katanya ketika ditemubual baru-baru ini di dewan pameran, ITIC, disini, hari ini.

Pameran ajuran bersama PIPKP, Tourism Perak dan Majlis Bandaraya Ipoh ini dibuka kepada orang ramai bermula 12 Januari sehingga 15 Februari 2021, masuk adalah percuma.

Sementara itu Noradidah juga memberitahu kemungkinan pameran ini akan dipanjangkan memandangkan negeri Perak sekarang sedang melalui Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPKB).

“Melalui kenyataan Exco Pelancongan Perak, Dato’ Nolee Ashilin Mohammed Radzi, kemungkinan pameran ini akan dilanjutkan sekiranya perlu memandangkan kita masih berdepan dengan pandemik Covid-19. Walaubagaimanapun terpulang kepada budi bicara Datuk Bandar Ipoh.

“Saya berharap pengunjung dapat meneruskan pengamalan Prosedur Operasi Standard (SOP) sewaktu berkunjung di bilik pameran. Bersama-samalah kita mengamati hasil seni sambil menderma kepada pesakit kanser melalui tabung dana MAKNA”, ujarnya.