Ipoh - Usaha memupuk jalinan kasih dan muhibbah antara golongan yang kurang berkemampuan menjadi agenda utama Yayasan Petronas (YP) melalui program Sentuhan Kasih Sempena Tahun Baharu Cina.

Ketua PETRONAS Wilayah Tengah dan Utara, Zukifli Othman berkata program yang dianjurkan ini sejajar dengan Agenda Kelestarian PETRONAS dan Matlamat Pembangunan Kelestarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kami sentiasa komited dalam memupuk semangat meneruskan amalan dan tradisi berkongsikan keceriaan Tahun Baharu Cina bersama golongan yang memerlukan melalui sumbangan barangan keperluan asas.

“Usaha kemasyarakatan ini senada dengan mesej korporat sambutan perayaan PETRONAS untuk meringankan beban mereka yang menyambut Tahun Baharu Cina sambil menempuh cabaran pandemik COVID-19,” katanya  selepas Majlis Ringkas Penyerahan Sumbangan di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kinta, di sini, hari ini. 

Penerima sumbangan ini diselaraskan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Perak bagi tujuan penyerahan dan pengagihan.

Sebanyak 400 pek hadiah perayaan berupa bekalan keperluan asas bernilai RM100 setiap satu disampaikan pada 8 Februari 2021, untuk diedarkan kepada anak-anak yatim, warga emas dan golongan kurang upaya dari 11 buah rumah kebajikan serta keluarga yang kurang berkemampuan.

Sementara itu Timbalan Pengarah JKM, berkata agihan bantuan yang dihulurkan  ini amat bermakna dalam usaha meringankan beban penduduk yang terkesan dengan cabaran pandemik Covid-19.

“JKM bersedia bekerjasama terutama menjelangnya apa sahaja perayaan. Melalui sumbangan ini kita dapat berkongsi kegembiraan dan memberi semangat kepada mereka yang merayakan Tahun Baru Cina tanpa ahli keluarga yang jauh”, katanya.

Turut hadir Pengarah Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat, Universiti Teknologi PETRONAS, Shamsina Shaharun dan Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kinta, Samsuddin Osman.