IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menangguhkan sebarang bentuk tindakan penguatkuasaan cukai taksiran ke atas pemilik-pemilik pegangan yang bertunggakan di lapangan sepanjang tahun 2021.

Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin berkata pendekatan secara perbincangan akan dilaksanakan bagi mengurangkan tekanan kepada warga kota yang mempunyai tunggakan cukai taksiran.

“Pihak Majlis amat mengalu-alukan kehadiran pemilik pegangan yang mempunyai masalah pembayaran tunggakan bil cukai taksiran untuk hadir ke MBI bagi membincangkan cara pembayaran samada secara ansuran mengikut kemampuan pemilik pegangan.

“MBI juga akan melanjutkan tarikh akhir bayaran bil cukai taksiran mbi bagi tahun 2021 sehingga dua bulan lagi . Tarikh akhir bayaran bil cukai taksiran bagi PENGGAL 1/2021 akan dilanjutkan sehingga 30 April 2021 dan tarikh akhir bayaran bil cukai taksiran bagi penggal 2/2021 akan dilanjutkan sehingga 31 Oktober 2021”, katanya menerusi pembentangan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Februari, di Dewan Mesyuarat MBI, di sini, hari ini.

Sementara itu Rumaizi berkata meneruskan kempen pembayaran bil cukai taksiran tahun  2021 terutamanya pembayaran cukai taksiran setahun dan tanpa tunggakan adalah layak  menyertai cabutan bertuah bagi tahun 2021.

Pelbagai hadiah menarik berupa wang tunai sejumlah RM 76,000.00 untuk dimenangi disamping hadiah utama bernilai RM 20,000.00 serta 200 hadiah saguhati. Penyertaan terakhir adalah sebelum atau pada 28 Februari 2021 ini.

“Pembayaran cukai taksiran boleh dilakukan di Kaunter Pembayaran Majlis Bandaraya Ipoh atapun pembayaran secara ‘online’ iaitu pembayaran e-bayaran melalui laman sesawang MBI di alamat www.mbi.gov.my, perbankan internet, Jompay dan juga PBTPay.

“Ini adalah inisiatif menggalakkan wargakota membuat pembayaran tanpa perlu hadir ke kaunter tetapi masih boleh menyertai Cabutan Bertuah.

‘Pihak Majlis dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga telah menghantar sebanyak 54,613 Notifikasi SMS PBTPay di telefon bimbit pelanggan sebagai peringatan mesra untuk membuat pembayaran bagi Bil Cukai Taksiran 2021 ini”, ujarnya.