Taiping: Program JOM RECYCLE yang bermatlamat mengekalkan kelastarian alam sekitar, mendapat sambutan baik masyarakat dari warga bandaraya Taiping.

Setiausaha Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Kamaruzzaman Kamari berkata program pertama kali ini menepati hasrat kerajaan negeri Perak untuk menggalakkan kerjasama antara pihak kerajaan dengan NGO dalam menjayakan Program Kitar Semula.

“Kita telah membuat perancangan sepanjang tahun ini antaranya mempergiatkan lagi kempen kitar semula ke sekolah-sekolah bagi mewujudkan kesedaran kepada  generasi muda tentang  kepentingan menjaga alam sekitar.

“Beberapa kajian berkaitan pengasingan sisa pepejal di rumah telah dijalankan dan didapati hanya 20% responden mengamalkan pengasingan sisa pepejal dirumah dan 80% tidak berbuat sedemikian.

 “Bagi meningkatkan kepentingan kitar semula dikalangan masyarakat, beberapa kempen kitar semula akan dilaksanakan dengan memfokuskan pengurangan penggunaan beg plastik sekali guna dan kesihatan berkaitan penggunaan polistirena sebagai pembungkus makanan.”, katanya selepas program JOM RECYCLE di Galeri Perbandaran Taiping, di sini, hari ini.

Program JOM RECYCLE itu dianjurkan oleh MPT dengan kerjasama  JCI Taiping @ Junior Chamber International Taiping.

Hampir 30 orang telah hadir menyerahkan pelbagai barangan untuk di kitar semula antaranya pakaian terpakai, buku-buku, barang-barang permainan, botol-botol plastik, barangan kaca dan tin aluminium dan alat-alat elektronik.

Menurutnya, Inisiatif ini secara tidak langsung turut mengajak masyarakat untuk mempraktikkan kempen ini secara berperingkat-peringkat. 

“Kita berjaya mengutip bahan buangan seberat 822.20kg untuk di kitar semula dan diserahkan kepada Persatuan Perkhidmatan Komuniti Taiping  (ESDA) sebuah  pertubuhan yang menyediakan peluang pekerjaan khusus untuk golongan Orang Kurang Upaya”, katanya

Program ini akan diterus secara tetap pada setiap hari Sabtu terakhir setiap bulan bertempat di Galeri Perbandaran Taiping. MPT juga merancang untuk memperluaskan aktiviti ke luar bandar.

Orang ramai yang ingin menyumbang barangan kitar semula bolehlah mengasingkan barang-barang mengikut jenis dan dibungkus dengan kemas.

Program JOM RECYCLE akan datang dijadualkan pada 27 Mac 2021, di Galeri Perbandaran Taiping bermula jam 9.00 pagi hingga 11.00 tengahari.

End//