IPOH - Gugusan Manjoi menjadi lokasi pertama daripada 20 lokasi terpilih sekitar bandaraya ini yang menerima liputan wifi percuma di bawah projek 'MBIFREEWIFI' hasil inisiatif Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Antara lokasi lain yang bakal menikmati wifi percuma ini termasuklah Kampung Sri Kinta, Taman Kanak-kanak (Gerbang Malam), Kinta Riverwalk, Kampung Bercham, Medan Kidd dan Menglembu. Projek pemasangan wifi ini dijangka akan siap sepenuhnya pada penghujung April tahun ini.
Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata kemudahan wifi berkelajuan 300Mbps ini mampu menampung antara 200 sehingga 250 orang pada satu-satu masa dan kawasan liputan adalah 50 meter dari lokasi yang disediakan.
Menurutnya, projek ini melibatkan kos sebanyak RM250,000 meliputi infrastruktur dan pembayaran bil internet bagi tempoh setahun.
"Kemudahan ini bertujuan untuk membantu pelajar-pelajar bagi mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR) serta menjayakan Program Tuisyen Cikgu Saarani yang telah dilancarkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad pada 3 Februari lalu.
"Selain itu, kemudahan internet percuma ini turut menggalakkan perniagaan dan keusahawanan di bandaraya Ipoh.
"Penduduk setempat boleh manfaatkan wifi percuma ini bagi perniagaan atas talian (online) bagi mengembangkan lagi pasaran produk atau mengadakan webinar,"katanya.
Beliau berkata, projek ini adalah salah satu komponen quick win smart-city bagi menjayakan hasrat MBI untuk menjadikan Ipoh sebuah Bandaraya Pintar dan pihak berkuasa tempatan pintar (PBT) Pintar.


Rumaizi berkata demikian pada majlis pelancaran MBIFREEWIFI dan penyampaian sumbangan 10 buah tablet kepada penduduk Kampung Manjoi dari kumpulan B40 bagi tujuan PDPR di sini, hari ini.
Sementara itu, penerima bantuan tablet, Nur Ain Afrina Yusmas Putera, 11, mengucapkan terima kasih kepada MBI yang membantu memudahkan dia untuk menghadiri kelas atas talian dan membuat kerja sekolah.
"Saya dah tak perlu berebut dengan adik beradik lain untuk menggunakan telefon pintar ibu atau ayah untuk  mengikuti pembelajaran secara online," ujar murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Manjoi Satu itu.
Murid tahun empat SK Manjoi Dua, Anas Sofia Mohd Azharudin, 10, pula berasa gembira kerana terpilih menerima bantuan tablet tersebut.
Dia yang bercita-cita untuk menjadi doktor dan amat meminati subjek Sains akan memanfaatkan penggunaan tablet tersebut serta belajar bersungguh agar impiannya tercapai.