IPOH – Pendakwah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim akan menjalinkan kerjasama dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk memperkembangkan lagi perkara-perkara lebih baik dan bermanfaat kepada warga bandar ini.
 
Menurut Ustaz Kazim, antaranya ialah pengisian menerusi platform Radio MBI dan TV MBI dengan merangka kandungan rancangan yang bersesuaian kepada para audiens.
 
“Saya juga bersetuju menggunakan platform sekolah saya iaitu Pusat Pendidikan Al Barakah, Manjoi sebagai model contoh untuk mempamerkan suasana kehidupan harmoni masyarkat pelbagai kaum di sana.
 
“Di pusat ini ada penghuni berbangsa Cina yang bukan beragam Islam dan bagaimana penghuni-penghuni di sana hidup dalam keharmonian,” ujarnya.
 
Beliau ditemui selepas menjadi tamu semasa bersiaran di Radio Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini pagi tadi.
 
Terdahulu, Ustaz Kazim turut meluangkan masa mengunjungi Datuk Bandar, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud untuk bertukar-tukar pandangan.
 
Selain itu kata Ustaz Kazim, beliau juga telah berbincang dengan Datuk Bandar bagi menjalinkan pelbagai kerjasama dengan MBI untuk menjayakan banyak program terutama memberi pemahaman kepada masyarakat tentang pematuhan syariah.
 
Ujar beliau, pihaknya sedia berkerjasama dengan memberikan penerangan dan contoh-contoh apa yang dikatakan pematuhan syarikat dan mewujudkan contoh agar ia lebih difahami.
 
“Apabila bercakap tentang pematuhan Syariah, masyarakat lebih terlihat pada perkara berbentuk hukuman atau hudud sedangkan sebenarnya ia sangat luas.
 
“Mungkin bagi sesetengah orang dia tidak nampak apa yang dikatakan pematuhan Syariah. Sebaliknya apabila semua orang faham ia satu benda yang menyeronokkan dan ia sangar-sangat baik
 
“Insyallah mudah-mudahan kita akan mewujudkan suasana yang mendamaikan, harmoni, bersih kepada seluruh masyarakat khususnya warga bandaraya Ipoh ini,” kata Ustaz Kazim.