TELUK INTAN - Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) membenarkan pembukaan bazar Ramadan secara terkawal di kawasan pentadbirannya mengikut prosedur operasi standard (SOP) sepertimana aktiviti ekonomi yang dijalankan ketika ini.
 
Antaranya di pusat bandar Teluk Intan iaitu di tapak bazar Ramadan Jalan Mahkota melibatkan 124 petak niaga, pekan Simpang Empat di Hutan Melintang iaitu di Taman Mesra (58) dan tapak pekan Rabu, Langkap (128).
 
Yang Dipertua MPTI, Ismail Ibrahim berkata, pembukaan bazar Ramadan ini adalah berdasarkan senarai aktiviti yang dibenarkan dalam SOP Perintah Kawalan Pergerakan semasa yang berkuatkuasa oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
 
Menurut beliau, menerusi perintah tersebut ia melibatkan rantaian aktiviti ekonomi dan industri berkaitan seperti operasi pasar pagi, pasar malam dan pasar tani. 
 
“Namun, pelaksanaan tindakan ini adalah masih tertakluk kepada arahan dari semasa ke semasa oleh pihak (MKN). 
 
“Sekiranya arahan semasa MKN tidak membenarkan bazar Ramadan maka pihak MPTI akan melaksanakan konsep perniagaan atas talian atau pembukaan gerai-gerai sedia ada atau penjaja seperti yang telah dilaksanakan pada tahun lalu,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
 
Mengikut SOP pasar malam ialah pelanggan mesti mendaftar dan melakukan imbasan suhu manakala kedudukan gerai pula hendaklah pada jarak tiga meter manakala jualan yang dibenarkan adalah makanan siap bungkus serta beli untuk dibawa pulang.
 
Aliran pergerakan pengunjung pula sehala dan hanya dua ahli daripada keluarga sama dibenarkan membeli dengan pengunjung dibenarkan berada pada zon bazar Ramadan hanya 20 minit.