IPOH - Komputer riba adalah antara barangan yang diperlukan penghuni Pertubuhan Baitul Aini bagi memastikan mereka dapat mengikuti dan mengulangkaji pelajaran secara atas talian.
Pengasasnya, Datin Noraini Abdullah berkata, setakat ini, rumah tersebut menempatkan 18 kanak-kanak dan remaja lelaki terdiri daripada anak yatim, yatim piatu serta asnaf berusia antara enam hingga 17 tahun dari pelbagai negeri di seluruh Malaysia. 
Menurutnya, majoriti penghuni rumah tersebut masih bersekolah dan amat memerlukan komputer riba untuk kemudahan mereka belajar. 
"Selain komputer riba, katil dan almari baru juga diperlukan bagi keselesaan anak-anak di rumah ini," katanya. 
Beliau berkata, pertubuhan ini diasaskan sejak 13 tahun lalu dan terletak di Simpang Pulai. 
"Hasil sumbangan orang ramai yang telah kami kumpul sejak 10 tahun lalu maka terbinalah penempatan baru bernilai RM500,000 di atas sebidang tanah wakaf di Kuala Pari Hilir, di sini. 
"Kami amat bersyukur kerana kebajikan bagi memelihara, menjaga dan membela nasib anak-anak ini dapat dilaksanakan dengan baik," ujarnya. 
Katanya, pihaknya amat berbesar hati jika ada yang tampil untuk menambah dana dan sumbangan bagi menampung kos operasi bulanan rumah tersebut. 
Terdahulu, Ahli Majlis MBI (Zon 16), Datuk Ahmad Hariri Kamarudin hadir menyampaikan sumbangan berbentuk barangan makanan berjumlah RM2,000 serta wang tunai RM1,000 kepada rumah tersebut. Hadir sama, Pengurus Pasaraya Econsave Cawangan Jelapang, Shah Effendy Rosman.